GEORGE TOWN, 12 Jan (Bernama) -- Penubuhan Muzium Feri Pulau Pinang memberi satu dimensi baharu kepada sektor pengangkutan negara iaitu pemeliharaan warisan pengangkutan sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan nasional.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata inisiatif itu selari dengan usaha Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam memperkukuh dokumentasi sejarah pengangkutan negara, memupuk kesedaran awam terhadap evolusi sistem pengangkutan dan menjadikan warisan pengangkutan sebagai sumber pendidikan serta pengetahuan.
"Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, kita harus membangunkan negara secara menyeluruh, merangkumi aspek fizikal, ekonomi, sosial dan nilai. Dalam konteks pengangkutan, ini bermakna kita terus memodenkan sistem pengangkutan awam, mempertingkatkan tahap keselamatan dan kecekapan operasi, pada masa sama memelihara legasi yang membentuk perjalanan pembangunan negara.
"Muzium Feri Pulau Pinang itu mencerminkan pendekatan seimbang iaitu masa lalu dihormati, masa kini diperkasakan, dan masa hadapan dirancang dengan penuh berhemah. Saya percaya muzium tersebut akan menjadi tempat penting untuk generasi muda memahami bahawa kemajuan kita hari ini lahir daripada usaha dan pengorbanan generasi terdahulu," katanya ketika berucap merasmikan Muzium Feri Pulau Pinang di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) Datuk Yeoh Soon Hin, Ketua Setiausaha MOT Datuk Seri M.Jana Santhiran dan Pengurus Besar SPPP Datuk V.Vijayaindiaran.
Loke berkata muzium berkenaan mempunyai sembilan zon pameran utama yang disusun secara berperingkat, membolehkan pengunjung mengikuti perjalanan perkhidmatan feri Pulau Pinang secara menyeluruh.
Melalui pameran, dokumentasi dan pengalaman sebenar, beliau berkata muzium itu akan membentuk kefahaman bahawa sektor pengangkutan adalah nadi kepada pembangunan negara serta kesejahteraan rakyat, dan nilai itulah yang ingin dibawa kerajaan Persekutuan dengan membangunkan generasi yang menghargai sejarah sambil bersedia memimpin masa hadapan.
Sementara itu, Yeoh berkata penubuhan Muzium Feri Pulau Pinang merupakan manifestasi komitmen SPPP dalam memelihara warisan maritim negeri khususnya legasi perkhidmatan feri yang telah menjadi nadi pergerakan rakyat Pulau Pinang sejak lebih satu abad.
"Sepanjang tempoh percubaan operasi, muzium ini telah menerima hampir 13,000 orang pelawat dari dalam dan luar negara, sekali gus berpotensi sebagai produk pelancongan berimpak tinggi serta menyokong pembangunan ekonomi setempat selaras dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026," katanya.
Muzium Feri Pulau Pinang yang terapung di perairan Pengkalan Weld di sini, dibuka secara rasmi pada 16 Sept lepas dengan proses pemulihan feri bermula sejak awal 2022 dan mengambil masa lebih dua tahun dengan kos RM10 juta.
Muzium di atas feri asal sepanjang 56 meter dan lebar 12 meter dengan keluasan keseluruhan 557.41 meter persegi itu, menawarkan pengalaman interaktif di semua empat tingkat feri termasuk bilik enjin dan bilik kapten, dibuka setiap hari dari 9 pagi hingga 10 malam dengan kapasiti maksimum 150 pengunjung dalam satu-satu masa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial