KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) -- Banjir di Sabah pulih sepenuhnya apabila pusat pemindahan terakhir di negeri itu ditutup 4 petang ini manakala jumlah mangsa di Sarawak terus merekodkan penurunan.
Di SABAH, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Slagon dan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Sri Dayang Shahbandar, Padas Damit di Beaufort telah ditutup selepas keadaan banjir pulih sepenuhnya.
Menurut kenyataan itu, kedua-dua pusat pemindahan berkenaan menempatkan 366 mangsa daripada 138 keluarga pagi tadi dan kesemua mereka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing petang ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Beaufort yang juga Pegawai Daerah Beaufort Mohd Nazri Ajun mengisytiharkan penamatan bencana banjir di daerah berkenaan.
Di SARAWAK, jumlah mangsa banjir mencatatkan penurunan dengan 1,822 orang daripada 587 keluarga masih berlindung di PPS petang ini berbanding 3,111 mangsa daripada 962 keluarga pagi tadi.
JPBN Sarawak memaklumkan sebanyak 13 PPS masih aktif melibatkan kawasan Serian, Sibu, Bintulu, Sebauh dan Miri.
Menurut jawatankuasa itu, antara PPS yang menempatkan jumlah mangsa tertinggi ialah PPS Sekolah Kebangsaan Tanah Puteh di Serian dengan 448 mangsa daripada 131 keluarga, diikuti Dewan Masyarakat Serian (325 mangsa daripada 94 keluarga) dan PPS Dewan Suarah Bintulu (306 mangsa daripada 114 keluarga).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial