JAKARTA, 12 Jan (Bernama-ANTARA) -- Presiden Indonesia Prabowo Subianto berkata kerajaannya akan membuka sekolah perubatan percuma bagi menangani masalah kekurangan doktor di negara itu dan petugas perubatan lain, lapor agensi berita ANTARA.
Bercakap pada perasmian 166 Sekolah Rakyat di 34 wilayah pada Isnin, Prabowo berkata Indonesia kini kekurangan ribuan doktor termasuk doktor gigi.
Beliau berkata kerajaan perlu mengambil langkah yang konkrit dan signifikan untuk menangani kekurangan itu termasuk memperluas akses kepada pendidikan perubatan.
"Kita perlu membuka sekolah dan saya akan buktikan kepada semua rakyat. Dalam masa terdekat ini, kita akan membuka sekolah perubatan," kata Prabowo.
Selain itu, beliau berkata kerajaan juga akan membuka kolej kejuruteraan dan institusi pendidikan tinggi lain dalam bidang-bidang strategik.
Prabowo berkata institusi itu akan dibuka secara percuma kepada semua pelajar Indonesia.
Beliau menzahirkan harapan bahawa dasar itu akan menyediakan peluang sama rata kepada semua kumpulan termasuk kanak-kanak daripada keluarga kurang berkemampuan untuk melanjutkan pelajaran.
"Saya mahu anak-anak pencari barangan lusuh untuk menjadi jurutera, doktor, usahawan dan jeneral," kata Prabowo sambil menambah bahawa pendidikan ialah cara paling berkesan untuk menghapuskan kemiskinan.
Bagaimanapun, beliau menekankan bahawa membangunkan sektor pendidikan memerlukan sokongan belanjawan yang mencukupi dan pengurusan kewangan telus dan bertanggungjawab.
Prabowo berkata kemajuan Indonesia bergantung pada kesediaannya untuk bertindak tegas dan menangani masalah sebenar.
“Kita mesti berani bertindak, bersedia menghadapi kesusahan dan mengatasinya supaya kita boleh bangkit sebagai sebuah negara,” katanya.
-- BERNAMA-ANTARA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial