WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Lelaki Mengaku Bersalah Curi Jongkong Emas, Gelang, Cincin Berlian

13/01/2026 03:19 PM

MELAKA, 13 Jan (Bernama) -- Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan mencuri serta berniaga harta curi iaitu 17 jongkong emas, gelang dan cincin berlian milik Pegawai Kewangan Negeri Melaka berjumlah RM254,000.

Hakim Rohatul Akmal Abdullah menetapkan Khamis ini untuk mendengar fakta kes sebelum menjatuhkan hukuman ke atas Mohd Zakuan Abdul Rashid, 35.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Zakuan didakwa mencuri  seutas gelang emas, dua cincin berlian, dua utas gelang berlian serta 17 jongkong emas dengan berat keseluruhan dianggarkan 86 gram dan wang tunai RM20 di kediaman milik Datuk Salhah Salleh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Jun 2024 hingga Dis 2025 di Rumah Kerajaan Yang Berhormat Pegawai Kewangan negeri, Bukit Peringgit di sini, yang digunakan sebagai tempat kediaman Salhah.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 10 tahun serta boleh dikenakan denda, dan bagi kesalahan kedua atau seterusnya hendaklah dihukum dengan pemenjaraan serta denda atau sebatan.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Zakuan didakwa berniaga harta curi berkenaan di Kampung Paya Rumput di sini pada tarikh sama mengikut Seksyen 413 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda.

Sementara itu, peniaga emas Noazira Jaafar, 41, pula mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima barang kemas berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asri Abd Rahman Sidik mencadangkan agar kedua-dua tertuduh masing-masing dikenakan jaminan RM100,000 kerana kes itu melibatkan kerugian yang tinggi.

Bagaimanapun, peguam Ishak Kari memohon agar anak guamnya iaitu Noazira, yang memiliki lesen jual beli emas secara kecil-kecilan, dikenakan jaminan rendah atas alasan berpendapatan kurang RM4,000 sebulan, mempunyai anak yang masih kecil dan suami hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Mahkamah tidak membenarkan Mohd Zakuan, yang tidak mempunyai penjamin dan peguam, diikat jamin manakala jaminan terhadap Noazira ditetapkan sebanyak RM20,000.

Noazira turut dikenakan syarat tambahan iaitu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan, hadir setiap kali sebutan dan 10 Feb ini ditetapkan untuk sebutan semula kes. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan