WILAYAH - TENGAH > BERITA

Kerajaan MADANI Komited Perkukuh Hal Ehwal Islam Secara Inklusif Dan Berkesan - PM Anwar

13/01/2026 04:52 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Kerajaan MADANI akan terus memperkukuh urusan hal ehwal Islam secara inklusif dan berkesan demi menjamin kesejahteraan umat dan keharmonian negara yang berpanjangan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata komitmen itu akan direalisasikan menerusi semangat musyawarah antara negeri, berpaksikan Perlembagaan Persekutuan serta didukung oleh nilai dan aspirasi Malaysia MADANI.

“Alhamdulillah, pagi ini saya menghadiri Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-74 yang dipengerusikan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

“Titah dan nasihat tuanku yang menekankan amanah kepimpinan, pemerkasaan pendidikan serta pengurusan hal ehwal Islam amat bermakna dan wajar dihayati bersama sebagai panduan dalam mendepani cabaran semasa, di samping membina kekuatan nilai, ilmu dan nurani umat Islam di negara ini,” kata beliau dalam hantaran di Facebook hari ini.

Anwar berkata mesyuarat berkenaan turut mencerminkan semangat muafakat dan kebersamaan antara kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri dalam merangka pandangan serta keputusan strategik demi kepentingan umat Islam, selaras dengan keperluan semasa dan realiti masyarakat majmuk Malaysia.

Pada mesyuarat itu, Sultan Nazrin bertitah supaya kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri melaksanakan tindakan susulan terhadap segala ketetapan dan rumusan yang dikemukakan MKI secara bersungguh-sungguh bagi memberikan nilai bermakna kepada peranan majlis tersebut.

Selain itu, baginda menegaskan Islam mementingkan pendidikan yang mengutamakan pembinaan kekuatan dalaman dan melahirkan insan seimbang dan holistik, bukan sekadar mengejar pencapaian akademik tanpa arah hidup dan nilai insani yang betul.

Baginda turut menekankan bahawa individu yang diamanahkan untuk memimpin dan mengurus institusi Islam hendaklah memiliki integriti yang tidak boleh diragukan, selain berfikiran proaktif, mencetuskan idea inovatif, memperkenalkan gerak kerja dinamik serta berani meneroka sempadan dan wilayah baharu.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan