MELAKA, 13 Jan (Bernama) -- Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bersama dengan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) menjalankan operasi penguatkuasaan bersepadu di sebuah hotel di sini, susulan timbul dakwaan premis berkenaan "mesra gay".
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata operasi itu dijalankan berikutan perkara terbabit tular di laman sosial selepas dibangkitkan oleh seorang pendakwah bebas, semalam.
“Berdasarkan pemeriksaan terhadap 37 bilik di hotel berkenaan, pihak berkuasa tidak mengesan sebarang kesalahan syariah di bawah Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991.
“Bagaimanapun, pemeriksaan di sebuah bilik yang didapati tidak berkunci menemukan keadaan bilik yang berselerak seolah-olah baru digunakan, selain terdapat dua helai tuala pada penyangkut serta dua kotak kondom di dalam tong sampah bilik berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Rahmad berkata individu yang terlibat tidak dapat dikenal pasti kerana bilik itu didapati kosong ketika operasi dijalankan.
Mengulas lanjut, beliau berkata operasi berkenaan dilaksanakan mengikut peruntukan Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991, melibatkan Seksyen 56 (Liwat), Seksyen 57 (Percubaan Liwat) dan Seksyen 58 (Perhubungan Jenis Luar Tabii).
"Tindakan pentadbiran turut diambil oleh MPHTJ apabila lesen perniagaan hotel berkenaan disita bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan memandangkan pemilik premis tidak berada di lokasi ketika operasi.
“Hotel diarahkan tutup selama satu hari dan pemilik premis dipanggil ke MPHTJ untuk memberikan penjelasan. Sekiranya penjelasan yang dikemukakan didapati memuaskan, lesen berkenaan akan dikembalikan, namun tindakan lanjut boleh diambil sekiranya sebaliknya,” katanya.
Dalam pada itu, Rahmad menasihati umat Islam agar menjauhi amalan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) kerana bertentangan dengan hukum syarak serta norma masyarakat, selain menyalahi peruntukan undang-undang sedia ada di negara ini.
Katanya, JAIM akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan pematuhan undang-undang dan memelihara keharmonian masyarakat di Melaka.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial