WILAYAH - SARAWAK > BERITA

AAX Peroleh Sepenuhnya Tawaran Saham Persendirian Bernilai RM1 Bilion Pada RM1.65 Sesaham

13/01/2026 07:24 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- AirAsia X Bhd (AAX) memperoleh sepenuhnya tawaran saham persendirian bernilai RM1 bilion pada harga RM 1.65 sesaham.

Tawaran saham persendirian itu dilanggan sepenuhnya oleh pelbagai gabungan pelabur institusi dan persendirian apabila syarikat memasuki peringkat akhir penstrukturan semula penerbangannya.

"Penyelesiaan tawaran saham ini merupakan langkah penting ke arah pembentukan kumpulan AirAsia yang lebih besar," kata AAX dalam satu kenyataan hari ini.

Syarikat penerbangan jarak jauh bajet itu berkata urus niaga ini dijadualkan untuk diselesaikan pada 19 Jan, 2026 dengan saham baharu akan disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada hari yang sama.

"Semasa penggabungan hampir mencapai penyelesaian yang disasarkan pada 19 Januari, tumpuan kumpulan kekal pada pengukuhan dengan disiplin dan memastikan perniagaan berada dalam kedudukan yang baik untuk beroperasi dengan boleh dipercayai.

"Selain itu, kumpulan terus memberi tindak balas kepada permintaan dan terus menawarkan perjalanan udara yang mampu diakses sambil mencipta nilai mampan untuk pemegang saham," kata syarikat itu.

Pada 25 April, 2024, AAX mengumumkan rancangan untuk mengambil alih AirAsia Aviation Group dan AirAsia Bhd dengan nilai gabungan RM6.8 bilion, bersama-sama dengan cadangan tawaran saham persendirian bernilai RM1 bilion.

Sementara itu, kumpulan sedang meneroka pembangunan hab strategik di Bahrain selain sedang memuktamadkan tempahan pesawat tambahan bagi mengoptimumkan perancangan kumpulan, mengurangkan kos unit, meningkatkan beban, mencapai pasaran baharu dan meningkatkan prestasi margin.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan