WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Ragbi Asia 7s: Tengku Mahkota Pahang Zahir Ucapan Tahniah Kepada SSM Pahang

13/01/2026 10:14 PM

KUANTAN, 13 Jan (Bernama)  -- Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada pasukan ragbi Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSM Pahang) atas kejayaan menjuarai kategori lelaki Kejohanan Ragbi Asia Tujuh Sebelah (7s) Bawah 19 Tahun (B-19).

Kesultanan Pahang menerusi hantaran di Facebook hari ini memaklumkan, pasukan SSM Pahang yang mewakili Malaysia mempamerkan prestasi cemerlang dengan menewaskan pasukan King’s College dari Thailand dengan keputusan 27–17 pada perlawanan akhir di Stadium Royal Thai Air Force, Bangkok, Thailand, Ahad lepas. 

“Tengku Mahkota Pahang menzahirkan rasa bangga terhadap semangat juang, disiplin tinggi serta kerjasama berpasukan yang ditampilkan oleh para pemain muda SSM Pahang, sekali gus mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa,” menurut hantaran itu. 

Hantaran itu turut memaklumkan bagi kategori wanita, pasukan Bunga Raya Girl yang dibarisi pemain-pemain terpilih daripada pelajar sekolah dan universiti tempatan turut mencatat pencapaian membanggakan apabila menamatkan kejohanan di kedudukan ketiga keseluruhan.

Pasukan wanita negara berjaya mencatat kemenangan 15–5 ke atas Triamudom Suksa Pattanakan Surattani School dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat.

Dalam hantaran sama, Tengku Hassanal menasihati atlet muda agar terus mengekalkan sikap rendah diri, berdisiplin serta sentiasa berusaha meningkatkan prestasi diri, di samping menjadikan kejayaan itu sebagai dorongan untuk mencapai tahap yang lebih tinggi pada masa hadapan.

Tengku Mahkota Pahang turut berharap agar kejayaan yang diraih oleh SSM Pahang dan Bunga Raya dalam kejohanan itu dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan berterusan sukan ragbi di peringkat sekolah dan akar umbi, sekali gus melahirkan lebih ramai atlet berpotensi yang mampu mengharumkan nama Pahang dan Malaysia di persada dunia. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan