WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Ubah No Plat Untuk Isi RON95, Warga Emas PR Singapura Didenda RM9,000

14/01/2026 12:40 PM

KULAI, 14 Jan (Bernama) -- Seorang lelaki warga emas pemegang status penduduk tetap Singapura, yang dikesan mengisi petrol RON95 pada awal bulan ini, didenda RM9,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana mempamerkan nombor pendaftaran bukan milik kenderaan dipandunya.

Majistret R. Salini membuat keputusan itu selepas Long Sa Kow, 64, selaku orang kena saman (OKS), mengaku bersalah dan memerintahkan tertuduh dipenjara sembilan bulan jika gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, Long sebagai pemandu kereta bernombor SLJ8967M jenis Volkswagen Jetta berwarna perak didapati telah melakukan kesalahan itu di sebuah Stesen Minyak di Batu 21/4, Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam, Daerah Kulai pada kira-kira 10.30 malam 2 Jan lepas.

Dia didakwa mengikut  Seksyen 108(3)(e) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya S. Thiviya memohon agar OKS dikenakan hukuman berbentuk pencegahan dan pengajaran kerana kesalahan itu melibatkan kepentingan awam di negara ini selain niat lelaki itu adalah bersifat kepentingan diri.

Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Sharmaine Fairuz Mohd Zulkifli merayu hukuman ringan atas alasan ini kesalahan pertama Long dan anak guamnya adalah pesara tanpa pendapatan tetap selain perlu menanggung isteri yang tidak bekerja serta anak yang masih bersekolah.

Long kemudian membayar denda itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan