JOHOR BAHRU, 16 Jan (Bernama) -- Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua merampas kira-kira 78,800 liter minyak diesel bernilai RM263,980 dalam serbuan di Taman Pasir Putih, Pasir Gudang di sini, semalam.
Komander PPM Wilayah Dua ACP Noor Azman Jamal berkata serbuan pada kira-kira 4 petang itu menahan lelaki tempatan berusia 50 tahun dipercayai penjaga atau pekerja premis tersebut.
Beliau berkata pemeriksaan mendapati sejumlah besar minyak diesel disimpan di situ dengan terdapat kesangsian terhadap jumlah liter minyak yang direkodkan dalam buku stok.
“Siasatan awal mendapati minyak diesel itu diperoleh melalui pembelian secara sah, namun turut melibatkan pembelian secara runcit dalam kuantiti kecil daripada individu atau sindiket tertentu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata taktik itu dipercayai untuk mengaburkan jumlah sebenar stok diesel yang disimpan dan mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.
Sehubungan itu, suspek disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, iaitu memiliki atau menyimpan barang kawalan tanpa kebenaran atau lesen yang sah.
Kesemua minyak diesel dirampas dan kes diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup untuk tindakan lanjut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial