WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KPDN Sita 3,545 Keping Emas Tidak Tulen Bernilai RM82,725

18/01/2026 01:28 PM

KUALA LUMPUR, 18 Jan (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyita 3,545 keping logam emas pelbagai bentuk bernilai RM82,725 menerusi Operasi Khas OPS Tulen di sebuah premis perniagaan di Pusat Perniagaan Kuchai Lama di sini baru-baru ini.

KPDN dalam kenyataan hari ini memaklumkan operasi di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730) itu dilaksanakan oleh enam pegawai penguat kuasa Bahagian Penguat Kuasa kementerian selepas premis berkenaan disyaki menjual produk emas yang tidak menepati standard ketulenan melalui saluran media sosial.

“Hasil ujian menggunakan peralatan pendarfluor sinar-X (XRF) ke atas syiling emas yang dibeli mendapati kandungan emas sebenar adalah jauh lebih rendah berbanding ketulenan yang dicop iaitu AU 999.9, dengan bacaan purata sekitar 77 peratus,” menurut kenyataan itu.

Pemeriksaan lanjut mendapati premis berkenaan adalah pembekal kepada peruncit yang memasarkan produk emas sama secara dalam talian manakala produk yang dipamerkan di premis itu adalah sama seperti yang diiklankan di media sosial.

Ujian ke atas emas yang disita pula menunjukkan kandungan emas berbeza-beza antara 80 peratus hingga 98 peratus bagi setiap kepingan seberat 0.01 gram.

Sehubungan dengan itu, premis terbabit disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 5(1)(a) Akta Perihal Dagangan 2011 kerana membuat perihal dagangan palsu berkaitan standard ketulenan barangan logam berharga.

Selain emas, beberapa peralatan dan dokumen turut disita bagi membantu siasatan.

KPDN memaklumkan tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana pihak yang membuat perihal dagangan palsu mengenai kandungan, jenis atau nama barangan di bawah Seksyen 5(1)(c) Akta 730.

Bagi individu, kesalahan pertama boleh dikenakan denda sehingga RM250,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Bagi syarikat pula, denda sehingga RM500,000 boleh dikenakan bagi kesalahan pertama dan sehingga RM1 juta bagi kesalahan kedua atau berikutnya.

KPDN menegaskan komitmen kementerian untuk terus mempergiatkan penguatkuasaan bagi membanteras amalan perniagaan yang mengelirukan dan menipu pengguna, khususnya melibatkan penjualan barangan logam berharga.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan