WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Sultan Ibrahim Puji Pencapaian Ekonomi Negara, Kejayaan Malaysia Sebagai Pengerusi ASEAN

19/01/2026 01:36 PM

KUALA LUMPUR, 19 Jan (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim mengucapkan tahniah kepada kerajaan atas kejayaan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun lepas dan berjaya mencatat pertumbuhan ekonomi yang positif pada tahun lalu.

Seri Paduka Baginda bertitah Malaysia masih berjaya mencatat pertumbuhan ekonomi positif sebanyak 4.7 peratus dalam tempoh Januari hingga September tahun lepas dengan kadar pengangguran dan inflasi kekal rendah serta kemiskinan tegar berada pada paras 0.09 peratus.

“Syabas saya ucapkan walaupun dunia menghadapi pelbagai cabaran namun Malaysia masih berjaya mencatat pertumbuhan ekonomi positif dalam tempoh Januari hingga September,” titah Seri Paduka Baginda.

Sultan Ibrahim bertitah demikian dalam Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negara di sini hari ini.

Berdasarkan takwim di laman web rasmi Parlimen, persidangan Dewan Rakyat yang berlangsung selama 20 hari itu akan menyaksikan pembentangan usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja, diikuti dengan sesi perbahasan usul berkenaan selama tujuh hari mulai 20 Januari.

Persidangan Dewan Negara pula akan berlangsung selama 13 hari bermula 23 Februari.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan