KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Marriott Executive Apartments Kuala Lumpur mengundang tetamu untuk berkumpul sambil mengeratkan silaturahim menerusi bufet Celebrate Around the World – Raikan Bersama di Bistro Kia Peng, yang menampilkan pelbagai jenis masakan Muslim dari seluruh dunia bermula 23 Feb hingga 10 Mac 2026.
Marriott Executive Apartments Kuala Lumpur dalam satu kenyataan memaklumkan, Celebrate Around the World bukan sekadar pameran kulinari, ia juga meraikan kebersamaan melalui hidangan yang dinikmati dengan tenang sambil berkongsi cerita.
Pengalaman berkenaan diinspirasikan oleh cita rasa budaya dari seluruh dunia dan dipersembahkan dalam pendekatan kontemporari yang tetap menghormati warisan serta kesinambungan tradisi merentas generasi.
Tetamu berpeluang menikmati keenakan hidangan Gado-Gado sehingga juadah istimewa Cina Muslim, makanan istimewa dari Turkiye serta Brunei, di samping hidangan Melayu kegemaran ramai dan ciptaan tempatan yang diolah dengan menarik.
“Di Marriott Executive Apartments Kuala Lumpur, Bistro Kia Peng sentiasa menjadi tempat yang menyatukan orang ramai melalui makanan.
“Menerusi Celebrate Around the World-Raikan Bersama, penceritaan menjadi teras pengalaman menjamu selera, menggabungkan warisan, teknik masakan dan naratif peribadi di sebalik setiap hidangan,” menurut kenyataan itu.
Pengurus Besar Marriott Executive Apartments Kuala Lumpur Grant Young berkata konsep berkenaan direka untuk mewujudkan suasana yang mesra dan mengalu-alukan acara pertemuan yang penuh bermakna.
“Inilah masanya untuk mengingatkan kita kepada perkara paling berharga dalam hidup, berkongsi detik indah bersama-sama. Kami mahu mencipta satu pengalaman, para tetamu berkumpul sambil meraikan kegembiraan, sederhana tetapi amat bermakna,” katanya.
Sementara itu, Ketua Cef Marriott Executive Apartments Kuala Lumpur Parthiban berkata menu berkenaan diilhamkan dengan sentuhan emosi dengan gabungan nilai warisan dan pengalaman peribadi.
Terletak di tengah-tengah Kuala Lumpur, Bistro Kia Peng menawarkan persekitaran menjamu selera yang santai, namun elegan.
Restoran ini terus menjadi lokasi pertemuan budaya, memori dan cita rasa, disokong dengan layanan yang mesra serta bahan masakan yang berkualiti.
Bufet makan malam Celebrate Around the World–Raikan Bersama boleh didapati di Bistro Kia Peng, Aras 7M, Marriott Executive Apartments Kuala Lumpur, 17 Jalan Kia Peng setiap hari dari 6.30 petang hingga 10 malam, pada harga RM148 untuk dewasa dan RM74 bagi kanak-kanak.
Untuk tempahan dan maklumat lanjut, tetamu boleh menghubungi +6012 871 3860 atau e-mel Bistro.KiaPeng@execapartments.com.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial