WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Dana Wakalah Korporat Lengkapkan Usaha Kerajaan Perkasa Pendidikan Inklusif - Zulkifli

19/01/2026 06:57 PM

KUALA LUMPUR, 19 Jan (Bernama) -- Sumbangan sektor korporat melalui dana wakalah zakat berperanan penting dalam melengkapkan usaha kerajaan memperkasakan pendidikan inklusif khususnya untuk pelajar Orang Kurang Upaya (OKU), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.

Beliau berkata penglibatan sektor korporat dalam skim wakalah zakat telah lama diamalkan di negara ini dan terbukti berupaya membantu memperluas capaian bantuan kepada kumpulan sasar.

“Inisiatif sumbangan ini bukan sahaja melengkapi usaha kerajaan (memperkasakan pendidikan inklusif), malah memperkukuh kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta dalam membentuk masa depan pendidikan yang lebih inklusif,” katanya. 

Zulkifli berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sentuhan Kasih Sun Life Malaysia Takaful di Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) di sini hari ini.

Pada majlis itu, sebanyak 500 pelajar berkeperluan pendidikan khas daripada 25 sekolah menengah di sekitar Wilayah Persekutuan menerima sumbangan kewangan RM200 setiap seorang melibatkan jumlah keseluruhan RM100,000 menerusi dana wakalah Sun Life Malaysia Takaful Bhd.

Turut hadir Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, Pengerusi Pusat Pungutan Zakat - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) Datuk Sri Amrin Awaluddin, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Datuk Mohd Nizam Yahya serta Ketua Pegawai Eksekutif Sun Life Malaysia Takaful Berhad Noor Azam Mohd Yusof.

Terdahulu, Zulkifli dalam ucapannya berkata bantuan itu mencerminkan peranan sektor korporat dalam memastikan kebajikan pelajar OKU juga terus terbela.

“Melalui Belanjawan MADANI 2026 yang dibentangkan tahun lepas, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1.4 bilion khusus bagi memperkasakan kebajikan golongan OKU. Kerajaan juga telah berikrar untuk terus membela kebajikan dan pendidikan anak-anak istimewa dengan memperuntukkan ratusan juta ringgit sebagai elaun bulanan bagi setiap pelajar OKU.

“Kesemua ini bertujuan menyokong keperluan pembelajaran, intervensi khas serta kebajikan mereka sekali gus menunjukkan komitmen berterusan kerajaan bagi memperkasakan pendidikan mereka ke arah yang lebih baik,” katanya.

Sementara itu, sebanyak 26 surau sekolah menengah di sekitar Wilayah Persekutuan termasuk satu surau milik JPWPKL turut menerima sumbangan RM80,000 melalui dana wakalah MAIWP pada majlis berkenaan bagi meningkatkan keselesaan beribadah di surau-surau itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan