WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Semakin Ramai Golongan Muda Korea Selatan Tinggalkan Pasaran Buruh - Bok

20/01/2026 07:51 PM

SEOUL, 20 Jan (Bernama-Yonhap) -- Bilangan golongan muda Korea Selatan yang tidak bekerja mahupun mencari pekerjaan melonjak sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai tekanan struktur dalam pasaran buruh, lapor Agensi Berita Yonhap.

Menurut laporan Bank of Korea (BOK) mengenai pekerjaan belia, peratusan individu berusia 20 hingga 34 tahun yang diklasifikasikan sebagai "berehat" meningkat kepada 22.3 peratus pada 2025 berbanding 14.6 peratus pada 2019.

Kategori itu merujuk kepada individu yang tidak bekerja dan tidak terlibat dalam pencarian pekerjaan, pendidikan atau latihan tanpa alasan khusus seperti menjaga anak atau masalah kesihatan.

Daripada jumlah itu, bilangan golongan muda yang menyatakan mereka tidak mahu bekerja langsung meningkat kepada kira-kira 450,000 orang tahun lepas, berbanding 287,000 pada 2019.

BOK menyatakan bahawa belia dengan pendidikan maktab rendah ke bawah membentuk bahagian terbesar dalam kumpulan "berehat" itu, namun perkadaran lepasan universiti menunjukkan peningkatan ketara sejak kebelakangan ini.

Bank pusat itu mengaitkan trend berkenaan dengan faktor struktur, termasuk perubahan dalam pasaran buruh yang dipacu oleh kecerdasan buatan (AI), kecenderungan syarikat terhadap pekerja berpengalaman, serta pertumbuhan ekonomi yang perlahan.

BOK turut menyangkal persepsi umum dengan menyatakan bahawa golongan muda yang "berehat" ini tidak semestinya mempunyai jangkaan gaji yang tinggi. Purata gaji tahunan minimum yang mereka harapkan adalah sekitar 31 juta won (US$20,975), yang secara amnya selari dengan golongan belia menganggur yang lain.

"Peningkatan golongan muda yang keluar daripada pasaran kerja boleh mengurangkan penawaran tenaga buruh bukan sahaja untuk jangka pendek tetapi juga bagi tempoh panjang, sekali gus menjejaskan potensi pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhan," kata Yoon Jin-young, pegawai BOK merangkap pengarang laporan itu.

"Isu ini harus ditangani bukan sahaja sebagai cabaran kitaran tetapi juga sebagai masalah struktur," kata Yoon, sambil menggesa insentif dan langkah dasar yang lebih kukuh bagi menggalakkan golongan muda memasuki semula pasaran buruh serta menambah baik keadaan pekerjaan belia melalui reformasi.

-- BERNAMA-YONHAP


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan