WILAYAH - SARAWAK > BERITA

16,111 Kes Kebakaran Direkod Sepanjang 2025, Kerugian Cecah RM2.09 Bilion

20/01/2026 07:57 PM

IPOH, 20 Jan (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merekodkan 16,111 kes kebakaran di seluruh negara sepanjang 2025 dengan 98 kematian dilaporkan, kata Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM Datuk Ahmad Izram Osman. 

Beliau berkata statistik laporan tahunan JBPM juga merekodkan anggaran kerugian harta benda mencecah RM2.09 bilion manakala nilai harta berjaya diselamatkan hasil tindakan pantas pasukan penyelamat dianggarkan RM6.44 bilion.

“Statistik menunjukkan kebakaran struktur kekal sebagai penyumbang utama dengan 76 peratus atau 12,292 kes manakala kebakaran kenderaan 24 peratus atau 3,819 kes.

“Pembakaran sampah menjadi penyebab tertinggi dengan 34.4 peratus, diikuti rokok dan kegiatan merokok (25 peratus) dan sumber elektrik (18.6 peratus),” katanya pada sidang media selepas Program Sumbangan Persatuan Kebajikan Jabatan Bomba dan Penyelamat di Ibu Pejabat JBPM Perak di sini hari ini. 

Ahmad Izram berkata bagi kategori kebakaran struktur, rumah merekodkan peratusan tertinggi iaitu 55.4 peratus disusuli premis perniagaan (19 peratus) dan industri (9.2 peratus).

Bagi pecahan mengikut negeri, beliau berkata Selangor mencatatkan jumlah tertinggi dengan 3,457 kes dengan kerugian RM543.6 juta, diikuti Johor (3,056 kes, RM477.3 juta), Perak (1,345 kes, RM107.4 juta), Kuala Lumpur (1,356 kes, RM79.3 juta) dan Pulau Pinang (976 kes, RM99.3 juta).

“Sabah merekodkan kematian tertinggi, iaitu 21 mangsa diikuti Johor (17 mangsa), Selangor (14 mangsa), Pulau Pinang (tujuh mangsa) manakala Perak serta Kuala Lumpur masing-masing lima kematian,” katanya. 

Ahmad Izram berkata JBPM akan terus memperkukuh usaha pencegahan, pendidikan keselamatan dan kesiapsiagaan komuniti bagi memastikan keselamatan nyawa serta harta benda orang ramai sentiasa terpelihara.

Pada perkembangan lain, beliau berkata JBPM telah menghantar cadangan pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat di kawasan Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) ke peringkat kementerian untuk dipertimbangkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Beliau berkata cadangan itu dibuat selepas kajian menyeluruh melibatkan aspek pengoperasian dan keperluan sebenar di kawasan tersebut. 

Ahmad Izram berkata setakat ini, JBPM belum mempunyai balai bomba kekal di laluan itu, namun sebuah pos bomba yang melibatkan satu jentera telah diwujudkan bagi membolehkan tindakan kecemasan dilakukan dengan lebih pantas.

“Ia diwujudkan selepas satu kes sebelum ini dan terletak selepas kawasan tasik dan jeti awam berhampiran Royal Belum namun penempatan jentera di pos itu tidak dilakukan setiap hari, sebaliknya difokuskan pada musim perayaan atau tempoh berisiko tinggi,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan