WILAYAH - TENGAH > BERITA

DIPN Tonggak Baharu Perkasa Industri Pertahanan Negara - Mohamed Khaled

21/01/2026 11:58 AM

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Kerajaan hari ini melancarkan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN), pelan strategik jangka panjang bagi mengurangkan kebergantungan Malaysia terhadap pihak luar dalam soal keselamatan dan pertahanan, serta membina industri pertahanan tempatan yang kendiri, lestari dan berdaya tahan.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata landskap keselamatan global yang semakin kompleks, rapuh dan tidak menentu menuntut Malaysia memperkukuh keupayaan pertahanannya  melalui pembangunan industri domestik yang kukuh dan berdaya saing.

“Adalah kerugian besar sekiranya peruntukan tinggi yang disalurkan kepada Kementerian Pertahanan setiap tahun tidak dimanfaatkan sepenuhnya untuk membangunkan industri pertahanan negara yang mampu berdiri atas keupayaan sendiri,” katanya ketika berucap pada majlis peluncuran DIPN di sini hari ini.

Peluncuran dasar itu disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan mencerminkan komitmen tertinggi kerajaan dalam memperkasa ekosistem industri pertahanan negara.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari dan Panglima Tentera Darat Jen Datuk Azhan Md Othman.

Mohamed Khalid berkata kejayaan DIPN bergantung kepada pembinaan ekosistem menyeluruh, merangkumi komitmen kerajaan, reformasi dasar perolehan pertahanan, pemindahan teknologi yang berkesan, serta pengukuhan penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Antara pembaharuan utama, penetapan kandungan tempatan minimum 30 peratus bagi setiap perolehan pertahanan, selain penegasan bahawa semua aktiviti penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) perlu dilaksanakan oleh syarikat tempatan, kecuali dalam tempoh jaminan yang hanya boleh dikendalikan oleh pengeluar peralatan asal (OEM).

“Mana-mana syarikat tempatan yang gagal berinovasi, meningkatkan kandungan tempatan atau mengurangkan kos, kontrak MRO mereka boleh ditamatkan kerana keutamaan kita adalah kepentingan negara,” katanya.

Dalam aspek pemindahan teknologi, Mohamed Khaled berkata Program Kolaborasi Industri (ICP) akan dilaksanakan secara lebih agresif dan bersasar, memberi penekanan hanya kepada syarikat tempatan yang berkeupayaan memanfaatkan teknologi dan menghasilkan produk bernilai tinggi.

Beliau turut menegaskan peranan penting R&D sebagai pemangkin pertumbuhan industri pertahanan, dengan sokongan dana kerajaan dan pelaksanaan ICP, termasuk melalui Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE).

Seiring pelancaran DIPN, Kementerian Pertahanan turut memperkenalkan Portal Industri Pertahanan yang menyediakan platform permohonan ICP, geran R&D serta penawaran teknologi berkaitan sektor pertahanan.

Dalam perkembangan sama, Mohamed Khaled mengumumkan beberapa projek pertahanan nasional yang termasuk pembangunan satelit pertahanan tempatan, sistem laser pertahanan, keupayaan pembuatan casis kenderaan darat, sistem persenjataan, radar pasif, loitering munition system (kamikaze drone) serta simulator pertahanan.

Beliau menjelaskan inisiatif berkenaan bukan bertujuan menghasilkan sistem persenjataan sepenuhnya dalam tempoh singkat, sebaliknya sebagai langkah permulaan membangunkan komponen dan perkhidmatan tempatan, supaya syarikat Malaysia dapat menyertai rantaian bekalan industri pertahanan secara signifikan.

“Ini adalah pelaburan strategik demi kedaulatan, keselamatan dan masa depan negara,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan