WILAYAH - SARAWAK > BERITA

IWK Teruskan Kerja Mitigasi Segera Susulan Tanah Runtuh Di Taman Bukit Permai Dan Taman Saga

21/01/2026 04:38 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Indah Water Konsortium (IWK) telah mengambil tindakan segera selepas menerima maklumat pada 10.50 pagi 18 Jan berhubung kejadian tanah runtuh yang merosakkan infrastruktur pembentungan miliknya di sepanjang cerun antara Taman Bukit Permai dan Taman Saga.

IWK dalam kenyataan hari ini memaklumkan telah mengadakan lawatan tapak pada hari kejadian (18 Jan) dan melaksanakan pemantauan setiap hari sejak itu bagi menilai situasi dan melaksanakan langkah mitigasi segera bagi memastikan keselamatan awam. 

“Tanah runtuh itu menjejaskan kira-kira 10 meter paip pembetung tanah liat vitrifikasi berdiameter 225mm dan satu lurang yang terletak kira-kira 350 meter dari Loji Rawatan Kumbahan AMA040. Langkah mitigasi segera telah dilaksanakan bagi mengelakkan kesan alam sekitar dan kemerosotan tapak lebih teruk. 

“Ini termasuk pemasangan sambungan pembetung sementara bagi mengelakkan pelepasan kumbahan, kesiapsiagaan pengalihan aliran kecemasan, pemasangan kanvas pelindung di sepanjang cerun bagi mengelakkan runtuhan baharu dan pembersihan longkang yang terjejas bagi memulihkan aliran air,” menurut kenyataan itu.

IWK memaklumkan terkini, halangan pada aliran longkang telah berjaya dibersihkan dan aliran biasa telah dipulihkan walaupun kerja pembersihan masih dijalankan. 

“Hari ini, kerja lencongan aliran sementara yang disambungkan ke lurang sedia ada sedang dilakukan dan dijangka siap hari ini. 

“Sementara itu, kerja susulan juga masih diteruskan termasuk pembinaan serta penjajaran semula paip pembentung dan lurang yang rosak selain pemasangan langkah perlindungan,” menurut kenyataan itu. 

Kerja susulan lain yang dilakukan ialah pemeriksaan CCTV ke atas saluran pembetung di sekitar kawasan, kerja pembaikan pemulihan bagi menangani kesan kegagalan cerun serta pemulihan sepenuhnya cerun, permukaan jalan dan penghadang keselamatan.

IWK memaklumkan mereka kekal komited untuk memastikan keselamatan awam, mengurangkan kesan alam sekitar dan bekerja rapat dengan pihak berkuasa dan pihak berkepentingan untuk memulihkan infrastruktur yang terjejas dengan segera.  

“IWK akan terus memantau situasi di tapak itu dengan rapi dan memberikan sokongan yang diperlukan dengan sewajarnya,” menurut kenyataan itu. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan