WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Inisiatif Pendidikan Percuma: Pelajar Autisme Rakam Penghargaan Kepada PM

21/01/2026 05:56 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Pelajar autisme Rajendrra Vharma merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan pengumuman pendidikan percuma kepada pelajar kategori Orang Kurang Upaya (OKU), yang disifatkannya sebagai harapan dan jaminan kepada mereka dan keluarga yang memiliki anak berkeperluan khas.

Menerusi video pendek, Rajendrra yang merupakan pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sentul Utama berkata pengumuman itu melangkaui pertimbangan dasar dan mencerminkan keprihatinan serta belas kasihan Perdana Menteri terhadap kanak-kanak berkeperluan khas. 

“Dengan tulus ikhlas saya mahu berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kebaikan dan keprihatinan terhadap kanak-kanak kurang upaya. 

“Pengumuman pendidikan percuma bukan sekadar polisi, tetapi ia hadiah sebuah harapan. Ia membuktikan masa depan kami penting dan setiap kanak-kanak, tanpa mengira cabaran mereka, mempunyai tempat dalam perjalanan masa depan Malaysia,” katanya. 

Dalam video itu, Rajendrra yang juga pelukis autisme yang diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) menyampaikan kata-kata semangat kepada pelajar berkeperluan khas dan menggesa mereka untuk tidak berputus asa serta terus mempercayai kemampuan diri. 

Rajendrra juga merakamkan penghargaan kepada ibu bapa dan guru atas sokongan serta dedikasi mereka yang tidak berbelah bahagi. 

“Kepada kawan-kawan jangan putus asa. Teruskan belajar dan percaya kepada diri sendiri. Kepada ibu bapa, terima kasih. Kalian merupakan sokongan terbesar kami. Kepada guru, terima kasih kerana membimbing kami dengan penuh kasih sayang dan dedikasi,” katanya. 

 Semalam, Perdana Menteri mengumumkan semua pelajar kategori OKU di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), politeknik dan kolej komuniti yang berjumlah sekitar 3,000 orang akan diberikan pendidikan percuma dengan serta-merta. 

Pengumuman itu disambut baik oleh ibu bapa, pendidik serta kumpulan advokasi yang melihatnya sebagai langkah penting ke arah mempromosikan pendidikan inklusif dan saksama di Malaysia.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan