WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Bekas PTD Hafizuddeain Jantan Didakwa Terima Lebih RM2.12 Juta Hasil Aktiviti Haram

22/01/2026 10:46 AM

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Bekas Panglima Tentera Darat (PTD) Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram lebih RM2.12 juta.

Muhammad Hafizuddeain, 58, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas keempat-empat pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

"Faham pertuduhan, minta dibicarakan,” katanya selepas pertuduhan dibacakan satu persatu.

Beliau merupakan PTD pertama yang didakwa di mahkamah berhubung kes pengubahan wang haram berkaitan tender perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM).

Bagi pertuduhan pertama hingga keempat, beliau didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram iaitu wang berjumlah RM969,000, RM474,850, RM488,550 dan RM190,000 yang dimasukkan ke dalam tiga akaun bank miliknya.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di tiga bank, melibatkan tiga lokasi berbeza iaitu di Jalan Melaka, Bukit Damansara dan pusat bandar raya di sini antara 2 Feb 2024 hingga 7 Nov 2025. 

Pertuduhan dikemukakan mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram atau RM5 juta yang mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Menerusi Ops Parasit, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 7 Jan lepas menahan seorang pegawai tinggi bersama dua isterinya berkaitan projek perolehan tender Tentera Darat dan keesokan harinya, pegawai itu direman selama tujuh hari manakala kedua-dua isterinya masing-masing direman tiga dan enam hari.

Siasatan SPRM berkaitan kes itu bermula sejak 7 Okt 2025 dan disifatkan sebagai sensitif kerana melibatkan pegawai berpangkat tinggi serta kepentingan awam.

Pada 23 Dis 2025, sepasukan pegawai SPRM hadir ke Kementerian Pertahanan untuk memulakan siasatan awal terhadap beberapa projek membabitkan Tentera Darat sejak 2023.

Sementara itu pada Khamis lepas, media melaporkan 23 individu termasuk dua pegawai tinggi dan empat pegawai kanan ATM ditahan SPRM bagi membantu siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa melibatkan isu perolehan serta penggunaan dana awam selain dakwaan menerima rasuah daripada beberapa syarikat berkaitan perolehan pembekalan di Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) dan Kementerian Pertahanan.

Azura membenarkan Muhammad Hafizuddeain diikat jamin RM250,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia, berserta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri sebulan sekali pada minggu pertama setiap bulan dan pasort diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 30 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin menawarkan jaminan RM300,000 dengan dua penjamin dengan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM sekali setiap bulan pada minggu pertama. 

"Pasport antarabangsa tertuduh diserahkan kepada mahkamah kerana kes ini melibatkan perkara yang amat serius dan terdapat kebarangkalian tertuduh melarikan diri. Saya percaya pihak pembelaan tidak boleh menafikan kebarangkalian itu," katanya.

Peguam Aizul Rohan Anuar yang mewakili Muhammad Hafizuddeain tidak membantah syarat tambahan dipohon pendakwaan kerana itu adalah mekanisme bagi memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah.

Bagaimanapun, Aizul Rohan memohon jaminan RM100,000 kerana jumlah yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan adalah terlampau tinggi.

"Tertuduh telah berkhidmat dalam tentera lebih 40 tahun dan kini seorang pesara dengan pendapatan RM15,000 sebulan. Semua akaun bank anak guam saya telah dibekukan, dan jumlah jaminan tinggi merupakan satu hukuman tambahan, selain beliau perlu menyediakan wang jaminan untuk isteri.

"Saya mencadangkan syarat tambahan melapor diri di pejabat SPRM dua bulan sekali dan anak guam bersedia jika jaminan dikurangkan. Diharap mahkamah dapat mengambil kira bahawa tertuduh didapati tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya. Beliau juga pernah berkhidmat di Bosnia," kata peguam itu.

Wan Shaharuddin berkata pihak pendakwaan menghargai perkhidmatan tertuduh selama 40 tahun, namun jumlah jaminan yang ditawarkan adalah munasabah.

"Duit jaminan bukan diambil kira dari poket tertuduh tetapi penjamin. Isteri ketiga tertuduh akan didakwa di Mahkamah Sesyen 8 dan jaminan bukan dibayar oleh tertuduh tetapi penjamin. Amaun yang ditawarkan pendakwaan munasabah dan tidak menekan," katanya.

Pada prosiding hari ini, Wan Shaharuddin dibantu Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat, Farah Yasmin Salleh, Natrah Fareha, Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Maziah Mohaide, manakala Aizul Rohan dibantu peguam Muhammad Kausar Mohd Khairi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan