WILAYAH - UTARA > BERITA

UPSI Perkukuh Latihan Kepada Bakal Guru Selari Dasar Pendidikan Negara

22/01/2026 11:59 AM

IPOH, 22 Jan (Bernama) -- Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh latihan kepada bakal guru selari dengan dasar pendidikan negara yang menekankan pendekatan pedagogi terkini serta pembelajaran berpusatkan murid di sekolah.

Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata pengukuhan latihan tersebut secara tidak langsung mampu menerapkan nilai keinsanan yang tinggi dalam kalangan bakal pendidik, selain menitikberatkan aspek integriti dan profesionalisme bagi membentuk sahsiah guru yang berkualiti.

“UPSI sentiasa komited untuk menyokong usaha kerajaan dalam memastikan pelaksanaan dasar pendidikan negara dapat direalisasikan.

“Ia seterusnya memberi impak dalam melahirkan pendidik yang berkualiti demi kelestarian pendidikan negara,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Md Amin berkata UPSI turut menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa berhubung hala tuju baharu Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035.

Ia termasuk penstrukturan semula umur kemasukan murid ke sistem pendidikan formal negara, dengan prasekolah ditetapkan bermula pada umur lima tahun dan Tahun Satu pada umur enam tahun bermula 2027, bergantung kepada kesediaan ibu bapa.

Anwar berkata langkah itu selaras dengan usaha memastikan kesediaan pembelajaran kanak-kanak diperkukuh sejak peringkat awal di samping menyokong pembangunan potensi murid secara lebih seimbang.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan