WILAYAH - TENGAH > BERITA

Lesen Media Sosial: Syarat Nilai Ambang Lapan Juta Pengguna Diteliti - Fahmi

22/01/2026 01:07 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Kerajaan akan meneliti semula syarat pelesenan media sosial khususnya nilai ambang lapan juta pengguna, susulan kebimbangan bahawa kemudaratan dalam talian boleh berlaku walaupun platform berkenaan mempunyai bilangan pengguna lebih kecil.

Merujuk kepada insiden salah guna fungsi kecerdasan buatan (AI) Grok di aplikasi X, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata pada masa ini platform X dikecualikan daripada pelesenan kerana syarikat itu memaklumkan tidak mempunyai lapan juta pengguna di Malaysia.

Beliau berkata kes melibatkan aplikasi itu bersifat hibrid memandangkan X ialah platform media sosial manakala Grok pula merupakan aplikasi AI.

“Memandangkan insiden yang agak besar seperti ini telah berlaku, maka kita akan menilai semula had nilai ambang lapan juta pengguna kerana kemudaratan dalam talian tidak semestinya tidak berlaku walaupun jumlah penggunanya kurang daripada nilai ambang itu…jadi kita memberi penelitian kepada perkara ini.

“Ini adalah ruang agak hibrid dan memerlukan kementerian serta khususnya MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) meneliti bagi memastikan dari aspek kawal selia, isu kemudaratan dalam talian dapat ditangani dengan lebih menyeluruh,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Fahmi menjawab soalan tambahan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) berhubung langkah mewajibkan penilaian risiko oleh badan bebas terhadap fungsi AI, selain sama ada sekatan terhadap Grok bersifat kekal.

Mengenai audit keselamatan bagi perkhidmatan ataupun penyedia perkhidmatan platform media sosial, beliau berkata Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) 2025 menetapkan beberapa perkara yang akan menjadi panduan untuk pihak MCMC dari segi laporan tahunan keselamatan dalam talian perlu disediakan oleh platform.

Mengulas lanjut berhubung perkembangan kes berkenaan, Fahmi berkata dalam mesyuarat bersama wakil X yang dipengerusikannya semalam, pihak aplikasi itu menyatakan komitmen dan kerjasama mereka untuk mencegah penularan kandungan mudarat dalam talian melalui platform X dan aplikasi Grok.

Sehubungan itu, beliau berkata wakil platform X diminta untuk mengesahkan langkah yang dilaksana itu secara rasmi kepada pihak MCMC bagi membolehkan badan kawal selia menilai keberkesanan langkah tersebut dan mengambil tindakan susulan atau kawal selia yang sewajarnya.

“Tujuan mesyuarat itu untuk mendapatkan penjelasan dan komitmen daripada wakil platform X berhubung langkah pencegahan, pengukuhan ciri-ciri keselamatan bagi pengguna dan usaha diambil untuk mematuhi undang-undang Malaysia dalam mencegah penyebaran kandungan yang memudaratkan dalam talian,” katanya.

Fahmi memaklumkan sehingga kini, MCMC merekodkan 17 aduan atau laporan berkaitan aplikasi Grok yang merangkumi enam aduan rasmi kepada MCMC, dua laporan polis, lapan aduan melalui penandaan media sosial dan satu laporan awal pertama yang dibuka agensi itu. 

Bagi langkah keselamatan jangka panjang, beliau berkata kerajaan memberi tumpuan kepada pengukuhan tadbir urus AI dan tanggungjawab pemberi perkhidmatan dalam talian bagi memastikan kandungan dijana tidak melanggar undang-undang Malaysia termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan ONSA 2025.

Pendekatan itu, beliau berkata disokong melalui tindakan kawal selia kandungan lebih ketat, pemantauan berterusan dan peningkatan kesedaran awam bagi melindungi rakyat Malaysia terutama kanak-kanak, keluarga dan golongan rentan daripada pendedahan kepada kandungan dalam talian yang memudaratkan. 

“Paling penting ialah kesediaan pihak X untuk datang ke Malaysia dan mereka juga telah memberi satu komitmen bahawa mereka berhasrat untuk bekerjasama dengan lebih mendalam dan terlibat dalam beberapa aktiviti termasuk Kempen Internet Selamat,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan