WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pencegahan Jenayah, Perkukuh Keselamatan Di Sekolah Terus Jadi Keutamaan - KPN

22/01/2026 12:50 PM

TAPAH, 22 Jan (Bernama) -- Usaha memperkukuh pencegahan jenayah dan aspek keselamatan di sekolah terus menjadi keutamaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi pelaksanaan Inisiatif Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) sejak 2018, bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat, kondusif dan sejahtera.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata inisiatif yang dilaksanakan melalui Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) itu bertujuan menangani isu keselamatan pada peringkat sekolah secara menyeluruh dan berstruktur.

Beliau berkata PPS berperanan sebagai penghubung utama antara pihak polis dengan warga sekolah, selain menyampaikan pendidikan pencegahan awal, meningkatkan kesedaran undang-undang dalam kalangan pelajar serta membina hubungan kepercayaan yang erat antara PDRM dengan komuniti sekolah.

“PDRM memandang serius isu seperti buli, keganasan di sekolah, penyalahgunaan dadah, kes jenayah juvana serta pengaruh negatif media sosial yang boleh menjejaskan keselamatan dan masa depan anak-anak.

"Namun, suka saya ingatkan keselamatan sekolah bukan tanggungjawab satu pihak semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama erat antara guru, ibu bapa, murid, komuniti setempat dan pihak polis agar langkah pencegahan dapat dilaksanakan secara berkesan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program "Back To School" Bersama Ketua Polis Negara di Sekolah Kebangsaan (SK) Bidor, dekat sini hari ini.

Turut hadir pada program itu ialah Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramli dan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.

Mohd Khalid berkata pendidikan awal berkaitan pencegahan jenayah dan pematuhan undang-undang amat penting dalam membentuk disiplin serta jati diri pelajar sejak di bangku sekolah.

"Suka saya tekankan bahawa adab dan akhlak memainkan peranan penting dalam membentuk sahsiah pelajar yang seimbang serta mampu mengangkat martabat seseorang individu.

“Ilmu dan akhlak ialah dua kunci utama kejayaan dalam kehidupan. Hormatilah guru, sayangilah ibu bapa, jauhilah perkara negatif dan gunakan media sosial dengan bijak,” katanya.

Mohd Khalid yang juga bekas murid sekolah terbabit turut menyeru ibu bapa dan komuniti setempat agar terus menjadi rakan strategik kepada pihak sekolah dan PDRM dengan menyokong pelbagai program keselamatan serta pencegahan jenayah yang dilaksanakan.

Katanya, sokongan semua pihak amat penting kerana keselamatan dan pembentukan anak-anak hari ini merupakan pelaburan paling bernilai untuk masa depan negara.

"PDRM akan terus komited memperkukuh kerjasama strategik dengan Kementerian Pendidikan dan agensi berkaitan bagi memastikan inisiatif PPS kekal relevan, berkesan dan memberikan impak positif kepada keselamatan sekolah di seluruh negara," katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan