KOTA BHARU, 22 Jan (Bernama) -- Beberapa kementerian telah dikenal pasti dalam radar pemantauan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu perolehan, termasuk Kementerian Pertahanan (MINDEF).
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata pemantauan berkenaan dimulakan di MINDEF susulan keterbukaan dan sokongan diberikan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
“Dalam radar kami memang ada beberapa kementerian yang kita lihat mempunyai masalah dari segi isu perolehan.
“Kita mulakan dengan MINDEF dan pintu telah dibuka oleh Menteri Pertahanan dan saya menyambutnya dengan baik,” katanya dalam sidang media selepas Program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media Zon Timur di sini hari ini.
Azam berkata SPRM telah menambah empat lagi pegawai integriti bagi menjalankan eksesais bersama MINDEF bertujuan membantu kementerian berkenaan menangani isu ketirisan dalam perolehan.
Beliau berkata isu perolehan melibatkan ketirisan perlu diberi perhatian serius kerana ia berkaitan usaha melindungi serta menyelamatkan wang rakyat, yang merupakan hak semua.
Menurut beliau, perbincangan bersama Menteri Pertahanan semalam turut menyentuh kerjasama SPRM dengan MINDEF berhubung isu ketirisan perolehan melibatkan kaedah tender dan sebut harga, selain akan memperluas kepada Tentera Laut dan Tentera Udara.
“Oleh itu, satu eksesais perlu dibuat merangkumi kajian, semakan dan audit oleh SPRM dan kementerian. Kita perlu duduk bersama untuk melihat prosedur operasi standard (SOP) yang mempunyai kebocoran dan kelemahan,” katanya.
Azam berkata Menteri Pertahanan bersetuju supaya pakar berkaitan termasuk daripada Audit Negara dilibatkan dalam eksesais berkenaan, selain penambahan empat pegawai integriti bagi membantu dua pegawai sedia ada di MINDEF.
Beliau berkata langkah itu bertujuan meneliti bagaimana ketirisan berlaku serta mengenal pasti kaedah penjimatan kos bagi memastikan setiap pembelian dilaksanakan secara telus dan berintegriti.
“Sebagai contoh, bagi pembelian berskala besar, perlu ada konsultan untuk menilai sama ada harga yang ditawarkan berpatutan atau tidak,” katanya.
Azam berkata tempoh enam bulan diberikan bagi pelaksanaan eksesais berkenaan yang akan dimulakan dalam masa terdekat, sambil menegaskan bahawa tugasan itu bukan berbentuk siasatan.
Beliau berkata kehadiran pegawai SPRM di MINDEF adalah untuk meneliti isu perolehan melibatkan pembelian alat ganti, penyelenggaraan serta aset ketenteraan yang jumlahnya besar, termasuk melibatkan unit-unit teknikal.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial