WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Penggunaan Pusat Media Parlimen Tertakluk Tatacara Permohonan - Speaker

22/01/2026 05:47 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Penggunaan fasiliti Parlimen termasuk pusat media perlu mematuhi tatacara permohonan yang ditetapkan bagi mengelak penyalahgunaan terutama membabitkan orang luar dan aktiviti politik kepartian, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul.

Beliau berkata Parlimen adalah milik semua Ahli Parlimen dan mereka berhak menggunakan kemudahan yang disediakan, namun penggunaan itu perlu diselaras bagi memastikan tidak disalah guna.

“Saya dipertanggungjawabkan untuk menyelaras dan memimpin seperti yang terkandung dalam perlembagaan. Tatacara permohonan yang ditetapkan di bilik ataupun di pusat media adalah untuk mengawal supaya tidak ada penyalahgunaan.

“Sebab Ahli Parlimen boleh menggunakan semua fasiliti di sini...yang tak bolehnya orang luar, orang yang bukan Ahli Parlimen,” katanya ketika membuat pengumuman sebelum menyambung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Johari berkata syarat memaklumkan tujuan penggunaan fasiliti ditetapkan bagi memastikan kemudahan rasmi digunakan untuk urusan rakyat dan kerajaan, selain mengelakkan berlakunya ketegangan antara pihak berkepentingan di Parlimen.

“Sebab itu kita letakkan syarat supaya memberikan maklumat kepada kita. Nak guna itu untuk apa? Kalau untuk urusan-urusan menyuarakan hasrat setuju atau tak setuju dengan kerajaan, itu hak masing-masing...jadi saya sendiri tidak ada kuasa untuk menyekat,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata pengumuman atau aktiviti politik boleh dilakukan di luar pusat media atau di ruang lain yang sesuai termasuk bilik Ahli Parlimen.

Sementara itu, Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) meminta penjelasan berhubung garis panduan penggunaan pusat media yang menyatakan doorstep interview atau temu bual tanpa kebenaran tidak dibenarkan, dan sama ada ketetapan itu terpakai di luar pusat media termasuk di blok Ahli Parlimen.

Johari menjelaskan ketetapan itu tertumpu kepada penggunaan pusat media, manakala temu bual di luar pusat media tidak menjadi masalah.

Garis panduan penggunaan pusat media Parlimen yang dikemas kini semalam, antaranya menetapkan penggunaan Pusat Media Parlimen Malaysia adalah dikhaskan kepada Ahli Parlimen sahaja dan tidak dibenarkan digunakan oleh pihak luar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan