WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KPKM Teroka Peluang Pasaran Baharu Di AS

22/01/2026 07:52 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Malaysia meneroka peluang pasaran baharu di Amerika Syarikat (AS) bagi produk pertanian negara ketika lawatan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Isham Ishak ke negara itu yang bermula 17 hingga 24 Jan ini.

KPKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan perkara itu dibincangkan semasa kunjungan hormat Isham ke atas Timbalan Setiausaha bagi Perdagangan dan Hal Ehwal Pertanian Luar Negeri, Jabatan Pertanian AS (USDA) Michelle Bekkering di Washington DC pada Selasa.

Menurut kenyataan itu, pertemuan berkenaan turut membincangkan potensi kerjasama strategik dalam pemodenan pertanian, dengan fokus untuk meningkatkan produktiviti, mengukuhkan keterjaminan makanan serta menangani isu kelestarian alam sekitar.

“Di akhir pertemuan, Datuk Seri Isham menjemput penyertaan sektor industri AS dalam Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan (MAHA) 2026 yang akan diadakan dari 28 Ogos hingga 6 Sept 2026 dengan tema “Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan,” menurut kenyataan itu.

KPKM memaklumkan pertemuan di Washington DC itu merupakan yang terkini dalam siri beberapa pertemuan peringkat tertinggi antara KPKM dan USDA dalam usaha kedua-dua negara memperkukuh kerjasama teknikal serta meningkatkan tahap kepercayaan bersama.

Kenyataan itu memaklumkan, ia bagi memastikan keselamatan makanan dan kelancaran perdagangan produk pertanian antara Malaysia dan AS, terutamanya selepas pemeteraian Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) pada 26 Okt 2025.

“Nilai perdagangan pertanian antara Malaysia dan AS direkodkan sebanyak RM14.68 bilion bagi tempoh Jan hingga Sept 2025, sekali gus mencerminkan peranan AS sebagai rakan strategik penting Malaysia dalam rantaian bekalan makanan global,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan