WILAYAH - SELATAN > BERITA

Ops PEWA: JPJ Johor Keluar 720 Notis, Sita 235 Kenderaan

23/01/2026 01:58 PM

KULAI, 23 Jan (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor menyita 235 kenderaan dalam Operasi Penguatkuasaan Warga Asing (Ops PEWA) yang dijalankan dari 1 Jan hingga hari ini.

Pengarah JPJ Johor Zulkarnain Yasin berkata kenderaan termasuk motosikal, kereta, lori dan van itu ditahan dalam Ops PEWA yang dilaksanakan secara besar-besaran bagi menghalang warga asing yang tidak mempunyai kelayakan serta kenderaan sah daripada terus mencabar undang-undang sedia ada.

Beliau berkata sepanjang tempoh itu, sebanyak 1,109 kenderaan diperiksa dan sejumlah 720 notis dikeluarkan, yang melibatkan pelbagai kesalahan, dengan kesalahan paling banyak adalah tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL), diikuti Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, tiada lesen vokasional serta kesalahan teknikal lain.

“Warga asing yang diambil tindakan adalah sebanyak 459 orang dengan jumlah terbanyak dari Pakistan sebanyak 195 orang, Bangladesh (110), Indonesia (99), Myanmar (23), Nepal (15) serta lain-lain negara sebanyak 17 orang.

“Operasi ini dijalankan hasil aduan orang ramai yang bimbang dengan kebanjiran warga asing di negeri ini sejak akhir-akhir ini,” katanya pada sidang media Ops PEWA di Stesen Penguatkuasaan JPJ Ayer Bemban, Sedenak, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Zulkarnain berkata sepanjang tahun lepas, sebanyak 495,779 kenderaan telah diperiksa menerusi pelbagai operasi penguatkuasaan, dengan 114,153 kenderaan daripadanya diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.

Sebanyak 242,451 notis telah dikeluarkan, manakala kesalahan pelesenan kenderaan kekal sebagai kesalahan paling tinggi direkodkan dengan 62,608 kes, antaranya melibatkan lesen kenderaan tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans.

“JPJ Johor turut menyita sebanyak 2,075 kenderaan atas pelbagai kesalahan serius yang dikesan dan dalam aspek penguatkuasaan kenderaan perdagangan, sebanyak 9,575 kes lebih muatan direkodkan, membabitkan 9,079 notis JPJ(P)22 dan 496 notis APAD,” katanya.

 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan