SHAH ALAM, 23 Jan (Bernama) -- Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyasarkan kutipan zakat berjumlah RM2.2 juta daripada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Selangor tahun ini, dengan menumpukan pengukuhan pelaksanaan skim potongan gaji sebagai kaedah pembayaran yang lebih konsisten, sistematik dan berterusan.
Ketua Pegawai Eksekutif LZS Mohd Khaidzir Shahari berkata sasaran itu berdasarkan potensi besar penyertaan warga PDRM Selangor, memandangkan masih terdapat lebih 10,000 anggota yang belum menunaikan zakat melalui LZS walaupun menetap dan bertugas di negeri itu.
“Sasaran tersebut realistik dicapai sekiranya lebih ramai anggota PDRM menyertai skim potongan gaji yang bersifat automatik dan berterusan kerana sekiranya setiap seorang menyumbang serendah RM10 sebulan, sasaran RM2.2 juta setahun bukan sesuatu yang mustahil,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata skim potongan gaji terbukti sebagai mekanisme paling berkesan dalam memastikan pembayaran zakat dibuat secara berterusan tanpa membebankan pembayar.
Mohd Khaidzir berkata pada tahun lepas, jumlah kutipan zakat anggota PDRM Selangor direkodkan mencecah RM1.03 juta menerusi skim potongan gaji melibatkan 2,736 anggota, sekali gus membuktikan potensi besar skim berkenaan sebagai mekanisme kutipan paling stabil.
“Sebagai sebahagian daripada usaha mencapai sasaran baharu itu, LZS turut melancarkan Kempen ‘Anda Hero Asnaf, Ayuh Berzakat Sang Saka Biru’ yang menawarkan kategori Wira Prihatin RM10 sebulan dan Wira Harapan RM50 sebulan mengikut kemampuan masing-masing,” katanya.
Dalam perkembangan lain, LZS hari ini selesai menguruskan Wakalah Majikan PDRM Selangor berjumlah RM126,162.92 untuk diagih kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen dan 16 Ibu Pejabat Polis Daerah di seluruh Selangor bagi pelaksanaan inisiatif kebajikan dan pembangunan kerohanian anggota.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial