WILAYAH - SARAWAK > BERITA

FIFA Tarik Balik Sekatan Perpindahan Pemain Ke Atas Kelantan Red Warrior FC

23/01/2026 07:11 PM

KOTA BHARU, 23 Jan (Bernama) -- Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menarik balik sekatan perpindahan pemain yang dikenakan ke atas Kelantan Red Warrior FC, sekali gus membolehkan kelab itu mendaftarkan pemain import baharu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Kelab itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya menerima surat pengesahan daripada FIFA bertarikh 22 Jan 2026 yang menyatakan sekatan perpindahan pemain yang dikenakan pada 19 Dis 2025 telah ditarik balik sepenuhnya.

Menurut kenyataan itu, FIFA menjelaskan prosiding terhadap kelab itu ditutup selepas pertanyaan yang dikemukakan kepada bekas penolong jurulatih Kelantan FC, Pol Corpas Cuatrecasa, berhubung tuntutan yang tidak menerima sebarang maklum balas.

“Susulan penutupan prosiding tersebut, larangan pendaftaran pemain baharu ke atas Kelantan Red Warrior FC telah ditarik balik secara kekal,” menurut kenyataan itu.

Pengurusan kelab menegaskan isu berkenaan tidak sepatutnya dikaitkan dengan Kelantan Red Warrior FC kerana kelab itu tidak terlibat dengan permasalahan berkenaan, namun ia telah menjejaskan beberapa urusan termasuk pendaftaran pemain.

Sebelum ini, media melaporkan hasrat Kelantan Red Warrior FC yang beraksi dalam saingan Liga A1 Semi-Pro untuk mendaftarkan dua pemain import baharu terbantut susulan sekatan FIFA yang dikenakan pada 15 Dis lepas, dipercayai berkait dengan tuntutan terhadap bekas kelab Kelantan FC.

Dalam perkembangan sama, pengurusan kelab memaklumkan tuntutan itu dibuat oleh bekas penolong jurulatih Kelantan FC bersama peguamnya yang cuba mengaitkan Kelantan Red Warrior FC dengan bekas kelab itu.

Pengesahan daripada FIFA itu membolehkan kelab meneruskan proses pendaftaran pemain baharu bagi menghadapi saingan Liga musim 2025/2026.

“Kami berharap kehadiran pemain import baharu dapat memperkukuh pasukan dalam usaha mencapai sasaran untuk beraksi di Liga Super musim depan,” menurut kenyataan itu.

Kelantan Red Warrior FC kini berada di kedudukan ketiga Liga A1 Semi-Pro dengan mengumpul 32 mata hasil sembilan kemenangan, lima keputusan seri dan tiga kekalahan selepas 17 perlawanan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan