WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MEF Gesa Kerajaan Teruskan Dasar Pro-pelaburan, Pembangunan Bakat

23/01/2026 10:14 PM

KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menggesa kerajaan menyediakan fleksibiliti dalam dasar bagi menarik syarikat-syarikat multinasional dan syarikat besar antarabangsa untuk menubuhkan ibu pejabat serantau atau global masing-masing di Malaysia.

Menurut pertubuhan itu, fleksibiliti dalam dasar itu perlu terutamanya pada peringkat awal operasi syarikat-syarikat berkenaan selain disediakan insentif fiskal seperti manfaat cukai.

Presidennya Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata kerajaan perlu melengkapkan insentif dengan dasar ekspatriat yang lebih pragmatik dan fleksibel pada fasa awal pelaburan sekali gus membolehkan syarikat membawa masuk pakar asing apabila diperlukan.

"Pada masa yang sama, ini mesti disertakan dengan pelan penggantian dan pelan tempatan yang jelas dan dipantau bagi memastikan pemindahan kemahiran serta pengetahuan secara terstruktur kepada rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Syed Hussain, pendekatan ini akan mengukuhkan keupayaan Malaysia untuk menghasilkan bakat bertaraf dunia sambil kekal berdaya saing sebagai destinasi pelaburan serta membangunkan tenaga kerja tempatan melalui pendedahan kepada amalan terbaik global sambil mengekalkan pelaburan dalam negara.

Kehadiran syarikat antarabangsa membolehkan pemindahan pengetahuan merentas sempadan selain pendedahan kepada piawaian operasi global dan mobiliti kerjaya antarabangsa membolehkan rakyat Malaysia memperoleh pengalaman yang amat berharga dan akan memperkukuh modal insan negara dalam jangka panjang.

"Sebagai negara kecil yang banyak membuat pelaburan dalam membangunkan sistem pendidikan bertaraf dunia, Malaysia memerlukan peluang-peluang ini untuk melatih dan meningkatkan tenaga kerjanya.

"Syarikat antarabangsa juga cenderung menawarkan gaji dan faedah yang kompetitif dan seterusnya meningkatkan piawaian pekerjaan secara keseluruhan," tambahnya.

Syed Hussain turut mengucapkan tahniah kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani di atas prestasi cemerlang dalam menarik dan merealisasikan pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia.

Katanya, lebih 70 peratus pelaburan pembuatan asing yang diluluskan bernilai RM282.2 bilion telah pun direalisasikan.

Beliau berkata pencapaian berkenaan mencerminkan keyakinan berterusan pelabur global terhadap asas ekonomi Malaysia, hala tuju dasar dan kemudahan institusi yang disediakan.

"Pelaksanaan 966 projek pembuatan yang diluluskan antara 2022 dan September 2025 dengan 71 peratus daripadanya sudah dilaksanakan atau dalam proses, menekankan keberkesanan ekosistem pelaburan Malaysia dan pendekatan seluruh kerajaan yang diterajui oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA)," jelasnya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan