WILAYAH - SARAWAK > BERITA

APG 2025: Bonnie Raih Emas, Kongsi Pentas Dengan Abang

24/01/2026 05:00 PM

NAKHON RATCHASIMA, 24 Jan (Bernama) -- Ikon powerlifting negara Bonnie Bunyau Gustin berjaya merangkul pingat emas dalam saingan kategori 80 kilogram (kg) pada Sukan Para ASEAN (APG) Thailand 2025 hari ini, acara yang dianggap sebagai "pemanas badan".

Bonnie berjaya melakukan angkatan dominan sebanyak 201 kg untuk meraih emas, jauh mengatasi atlet Thailand, Marasri Thongsa, yang sekadar mendapat pingat perak dengan 173 kg, sekali gus mengukuhkan penguasaannya di pentas APG.

Kejayaan itu juga membawa makna istimewa buat atlet kelahiran Sarawak berkenaan, apabila berkongsi platform pertandingan antarabangsa bersama-sama abangnya Bryan Junency Gustin buat kali pertama yang menjadikan detik itu pencapaian bermakna buat keluarga mereka.

"Saya berasa amat gembira hari ini. Inilah pingat emas pertama saya di APG, dan berada di pentas yang sama dengan abang menjadikannya lebih istimewa," kata jaguh berusia 26 tahun itu.

Bonnie berkata perpindahannya ke kategori 80 kg ialah keputusan strategik memandangkan berat badannya sudah berada pada had maksimun kelas 72 kg.

"Jadi, beralih ke kategori 80 kg lebih munasabah. Kami masih berbincang dengan jurulatih dan persatuan sama ada saya akan kekal dalam kategori ini," katanya.

Bonnie menyifatkan saingan APG sebagai sebahagian daripada persediaan jangka panjang dan bukannya untuk mencapai prestasi maksimum, dengan menggunakan kejohanan ini bagi meningkatkan jumlah angkatan secara berperingkat menjelang cabaran yang lebih sukar.

"Akan ada lebih banyak tekanan pada Sukan Komanwel dan Sukan Asia di Nagoya nanti. Saingan ini hanyalah permulaan," katanya.

Sementara itu, pingat perak dimenangi oleh Bryan dalam kategori 88 kg, yang mencatat angkatan terbaik 195 kg, namun tewas di belakang Andika Eka dari Indonesia.

Bryan berkata beliau hampir mencipta sejarah berganda emas adik-beradik, namun percubaan terakhirnya dibatalkan kerana isu teknikal.

"Saya hampir berjaya. Saya berasa sakit di bahagian kanan semasa angkatan terakhir, yang akhirnya sedikit tersasar," katanya.

Walaupun terlepas emas, Bryan menyifatkan peluang menaiki podium, sama seperti adiknya sebagai detik membanggakan dan penuh emosi buat keluarga mereka.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan