WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pearly-Thinaah, Sze Fei-Nur Izzuddin Mara Ke Final Masters Indonesia

24/01/2026 09:30 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jan (Bernama) -- Beregu wanita nombor satu negara Pearly Tan-M. Thinaah dan pasangan profesional beregu lelaki Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani semakin hampir untuk menjuarai gelaran pertama musim ini selepas kedua-dua pasangan mara ke final  Masters Indonesia 2026 di Jakarta, esok.

Dalam aksi separuh akhir hari ini di gelanggang ikonik Istora Senayan, Pearly-Thinaah menepati ramalan apabila menumpaskan pasangan tuan rumah Lanny Tria Mayasari-Apriyani Rahayu dalam masa 32 minit dengan keputusan 21-15, 21-9.

Beregu wanita nombor dua dunia itu bakal berdepan cabaran Arisa Igarashi-Miyu Takahashi dari Jepun yang mengejutkan pasangan tuan rumah Rachel Allessya Rose-Febi Setianingrum dalam aksi tiga set, 21-12, 19-21, 21-13, selepas hampir sejam perlawanan sengit.

Sekiranya Pearly-Thinaah menewaskan Arisa-Miyu esok, mereka berpeluang menjadi pasangan beregu wanita Malaysia pertama memenangi gelaran ini sejak Vivian Hoo-Woon Khe Wei meraih kejayaan pada edisi 2011.

Sementara itu, Sze Fei-Nur Izzuddin tidak mengecewakan apabila melangkah ke final selepas menundukkan pasangan dari Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard, 21-9, 21-15 dalam tempoh hanya 28 minit.

Pasangan pilihan keempat itu akan berdepan duo Indonesia Raymond Indra-Nikolaus Joaquin yang mengejutkan pilihan kelima dan rakan senegara mereka, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani, 21-19, 21-14.

Ini merupakan final pertama Sze Fei-Nur Izzuddin sejak tewas kepada pasangan nombor satu dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae, 16-21, 17-21 di Terbuka Jepun 2025 Julai lalu.

Kedua-dua Pearly-Thinaah dan Sze Fei-Nur Izzuddin akan menyertai juara dunia beregu campuran semasa, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, dalam final kejohanan Super 500 esok.

Sebelum ini, Tang Jie-Ee Wei menyingkirkan pilihan kedua dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin, 21-17, 21-12.

Mereka akan menentang pasangan dari Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje, bukan pilihan tetapi berjaya menewaskan pasangan pilihan keenam dari Indonesia, Jafar Hidayatullah-Felisha Alberta Nathaniel Pasaribu, 20-22, 21-19, 21-17.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan