KUALA LUMPUR, 25 Jan (Bernama) -- Bagaikan tidak serik, walaupun pernah disaman tiga kali kerana menunggang motosikal tanpa lesen, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun tetap mengulangi kesalahan sama sebelum ditahan kali keempat dalam Operasi Samseng Jalanan di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang Expressway (DUKE), Sentul dekat sini, awal pagi tadi.
Remaja dari Wangsa Maju, di sini mengakui sebelum ini terpaksa bekerja di sebuah restoran bagi membayar saman terdahulu berjumlah kira-kira RM900 memandangkan kedua ibu bapanya tidak bekerja.
Dia yang ditahan ketika dalam perjalanan ke rumah rakannya di Sentul memaklumkan dalam proses mendapatkan lesen pada penghujung bulan ini, selain mengakui sering diingatkan oleh ibu bapanya agar bertanggungjawab terhadap kesalahan yang dilakukan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata operasi khas berkenaan dijalankan susulan aduan penduduk mengenai kegiatan samseng jalanan dan gangguan bunyi bising motosikal di kawasan itu.
Mohd Zamzuri berkata kegiatan lumba haram di kawasan itu dikesan aktif sejak tahun lepas, khususnya pada hujung minggu dengan jarak perlumbaan sekitar 1.8 kilometer di laluan lurus dari Lebuhraya DUKE hingga susur keluar Gombak.
“Kebanyakannya melibatkan penunggang dari sekitar Lembah Klang termasuk Gombak, Kajang dan Cheras,” katanya pada sidang media selepas operasi itu.
Operasi dijalankan bermula 9 malam tadi hingga 5 pagi ini melibatkan 10 pegawai dan 106 anggota JSPT, selain kerjasama daripada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan konsesi Lebuhraya DUKE.
Beliau berkata dalam tempoh 1 Jan hingga hari ini, pihaknya telah melakukan 40 tangkapan di kawasan itu di bawah kesalahan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Lebuhraya DUKE, Jalan Tun Razak dan Jalan Raja Laut, katanya dikenal pasti sebagai kawasan ‘litar haram’ kumpulan penunggang ini, namun mereka sering berpindah lokasi bagi mengelak tindakan penguatkuasaan.
Pada masa sama, Mohd Zamzuri berkata pihaknya turut melaksanakan operasi di Jalan Ipoh-Chow Kit, Jalan Ipoh-Sentul dan Jalan Tuanku Abdul Rahman dengan keseluruhannya melibatkan pemeriksaan terhadap 450 motosikal.
Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 83 motosikal disita dan enam individu ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 42 APJ, selain seorang penunggang dikesan positif dadah jenis methamphetamine di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Kebanyakan motosikal itu didapati diubah suai termasuk penggunaan tayar tidak mengikut spesifikasi, ketiadaan brek serta ekzos bising yang menjadi punca utama aduan penduduk, selain menimbulkan salah tanggapan seolah-olah berlaku aktiviti lumba haram secara berterusan,” katanya.
Kebanyakan penunggang berusia antara 16 hingga 19 tahun, malah ada yang seawal 14 dan sehubungan itu beliau menasihati ibu bapa untuk memantau pergerakan anak-anak serta memastikan mereka mematuhi peraturan jalan raya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial