WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Tang Jie-Ee Wei Cipta Sejarah Baharu, Pearly-Thinaah Akhiri Penantian 15 Tahun

25/01/2026 05:37 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jan (Bernama) -- Detik bersejarah tercipta apabila beregu campuran nombor satu negara Chen Tang Jie–Toh Ee Wei merangkul kejuaraan Masters Indonesia selepas muncul juara edisi 2026  di Jakarta hari ini.

Dalam aksi final kejohanan berstatus Super 500 yang berlangsung di Istora Senayan, pasangan nombor empat dunia itu menewaskan pasangan Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje, dengan keputusan 15-21, 21-17, 21-11 dalam tempoh 57 minit.

Bagaimanapun, kemenangan itu tidak mudah apabila pasangan juara dunia itu tewas 15-21 pada set pembukaan selepas gagal mengekalkan rentak awal perlawanan.

Menghadapi tekanan pada kedudukan 10-12 dalam set kedua, pilihan ketiga kejohanan itu bangkit dengan cemerlang, mencatat enam mata berturut-turut untuk mendahului 16-12 sebelum mengekalkan momentum untuk menamatkan set 21-17, sekali gus memaksa set penentuan.

Dengan keyakinan pulih sepenuhnya, Tang Jie–Ee Wei menguasai set penentuan, mengekang sebarang percubaan balas pihak lawan sehingga Boje tersalah pukul ke net, membolehkan pasangan Malaysia menamatkan perlawanan dengan kemenangan 21-11 dan meraih gelaran Jelajah Dunia kelima mereka.

Sementara itu, beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M.Thinaah merangkul gelaran pertama musim ini tanpa 'bermandi peluh’ selepas lawan mereka di final, gandingan Jepun, Arisa Igarashi-Miyu Takahashi menarik diri pada saat-saat akhir.

Difahamkan kemenangan 'percuma’ diberikan atas faktor kecederaan.

Sebagai rekod, Pearly-Thinaah menjadi beregu wanita pertama negara memenangi  Masters Indonesia dalam tempoh 15 tahun selepas kali terakhir dilakukan gandingan Vivian Hoo-Woon Khe Wei pada edisi 2011. 

Selaku juara, Tang Jie-Ee Wei dan Pearly-Thinaah masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai USD39,500 (RM158,217) manakala naib juara menerima USD19,000 (RM76,104).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan