WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Arab Saudi Lancar Pusat Perintah Dan Kawalan Kejuruteraan Pintar Masjid Nabawi

26/01/2026 03:22 PM

MADINAH, 26 Jan (Bernama-SPA) -- Pusat Perintah dan Kawalan Kejuruteraan Pintar di Masjid Nabawi dirasmikan pada Ahad, lapor Agensi Berita Saudi (SPA).

Pelancaran oleh Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah Pihak Berkuasa Am bagi Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, Tawfig Al-Rabiah, adalah bersempena dengan ketibaan bulan suci Ramadan yang semakin hampir.

Perasmian itu menandakan langkah penting dalam membangunkan ekosistem perkhidmatan untuk pengunjung masjid suci, meningkatkan kecekapan operasi serta menambah baik pengalaman jemaah melalui penggunaan teknologi canggih dan penyelesaian pintar.

Inisiatif berkenaan selaras dengan objektif Visi Saudi 2030 dalam kecemerlangan operasi dan inovasi.

Pihak berkuasa menyatakan bahawa pusat kejuruteraan pintar itu mewakili pendekatan transformatif bagi memantau prestasi operasi perkhidmatan di Masjid Nabawi.

Ia bergantung kepada skrin interaktif yang dihubungkan dengan data operasi digital, meliputi aset, perkhidmatan, maklum balas pengunjung serta pematuhan, sekali gus meningkatkan kecekapan pemantauan dan mempercepatkan maklum balas terhadap laporan operasi.

Pusat itu dikendalikan oleh kakitangan berkelayakan merangkumi empat syif operasi bagi memastikan operasi 24 jam serta pengendalian laporan yang pantas bagi menyokong operasi harian masjid.

Ia juga memperkukuh tadbir urus operasi menerusi penunjuk prestasi digital dan laporan analitikal berdasarkan data sejarah, semasa serta ramalan, selain menyepadukan dengan entiti luar yang berkaitan bagi menyokong pembuatan keputusan yang berkesan.

Kini beroperasi sepenuhnya, pusat tersebut direka untuk menguruskan tempoh kepadatan tinggi sepanjang tahun, terutamanya semasa Ramadan dan musim Haji.

Ia menggunakan penunjuk prestasi utama dan subsidiari untuk memantau prestasi operasi semua perkhidmatan.

Berfungsi sebagai platform bersepadu untuk menguruskan aset dan perkhidmatan di Masjid Nabawi, pusat itu mempertingkatkan pengurusan perkhidmatan, memastikan kesediaan operasi serta menyokong pembangunan sistem kerja selaras dengan Visi Saudi 2030 bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan untuk pengunjung.

-- BERNAMA-SPA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan