WILAYAH - SARAWAK > BERITA

RPTM 2026-2035 Beri Penekanan Pembangunan Bakat, Pemerkasaan Inovasi Sosial

26/01/2026 04:33 PM

MACHANG, 26 Jan (Bernama) -- Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 dilihat sebagai kerangka masa hadapan yang memberikan penekanan khusus kepada pembangunan bakat dan pemerkasaan inovasi sosial. 

Rektor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kelantan Prof Dr Mohd Afandi Mat Rani berkata mahasiswa ialah representasi kepada aspirasi nasional, golongan inteligensia muda yang bukan sahaja cemerlang di dewan kuliah tetapi mampu beradaptasi dengan perubahan teknologi serta dinamika sosioekonomi negara dalam dekad yang mendatang.

"UiTM menerusi pelbagai platform kelab, persatuan dan kesukarelawan berfungsi sebagai medan latihan amali, ia adalah wadah untuk mahasiswa mengasah kemahiran insaniah, membentuk kematangan emosi dan membina jati diri sebelum melangkah keluar sebagai pemimpin masyarakat yang kompeten," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Tokoh Siswa UiTM Cawangan Kelantan 2025 di sini hari ini yang dirasmikan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Prihatin Nasional Datuk Mohd Aizuddin Ghazali.

RPTM 2026-2035 yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 20 Jan lepas, menggariskan hala tuju baharu pendidikan tinggi negara yang berteraskan nilai kemanusiaan, kesejahteraan dan kemampanan bagi melahirkan insan berilmu, beretika serta berdaya saing pada peringkat global.

Antara perkara yang diumumkan ialah Mata Pelajaran Umum yang merangkumi pendidikan Perlembagaan dan sejarah Malaysia akan dimasukkan ke dalam kurikulum universiti awam dan swasta.

Selain itu, pelajar dengan PNGK 4.0 Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), matrikulasi dan asasi dijamin tempat di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan 3,000 pelajar OKU di IPTA, politeknik dan kolej komuniti akan menerima pendidikan percuma.

Pada majlis itu, pelajar semester tujuh Ijazah Sarjana Muda Perakaunan, Adam Mansor dinobatkan sebagai Tokoh Siswa 2025 UiTM Cawangan Kelantan.

Adam, 26, berkata kejayaan muncul sebagai tokoh siswa dua kali berturut-turut diharap dapat memberikan motivasi kepada pelajar lain supaya sentiasa berbakti kepada masyarakat, ekonomi setempat dan negara.

"Ibu saya Zuraini Othman, 55, dan kakak Sabariah Mansor, 28, merupakan tulang belakang yang sentiasa memberikan semangat dan dorongan kepada saya untuk terus belajar bersungguh-sungguh," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan