WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MMA Gesa Parlimen Beri Tumpuan Kepada Peningkatan Kos Penjagaan Kesihatan

26/01/2026 07:34 PM

KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- Isu yang menyelubungi pembiayaan penjagaan kesihatan dan peningkatan kos perubatan perlu terus dibangkitkan serta dibahas di Parlimen kerana ia memberi kesan kepada masyarakat umum, kata Preiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Datuk Dr R. Thirunavukarasu.

Beliau berkata inisiatif Insurans dan Takaful Kesihatan Malaysia (MHIT) mencerminkan usaha serius pertama kerajaan yang terselaras melibatkan pelbagai kementerian serta pihak kawal selia bagi menangani inflasi perubatan dan kenaikan premium insurans.

“Ini adalah kali pertama kita melihat usaha kolektif yang serius melibatkan pelbagai kementerian dan pihak kawal selia bagi menangani isu pembiayaan penjagaan kesihatan... ia merupakan langkah ke arah yang betul terutama selepas kebimbangan mengenai inflasi kesihatan dan peningkatan premium dibangkitkan di Parlimen,” katanya ketika menjadi tetamu Program The Nations terbitan Bernama TV hari ini.

Dr Thirunavukarasu berkata kos penjagaan kesihatan meningkat disebabkan beberapa faktor seperti populasi menua, peningkatan prevalens penyakit tidak berjangkit (NCD), kos pematuhan peraturan lebih tinggi serta penggunaan meluas teknologi perubatan canggih khususnya dalam rawatan sekunder dan tertiari.

Beliau berkata rawatan yang tertangguh semasa pandemik COVID-19 turut menyumbang kepada lonjakan kes selepas  pandemik sekali gus memberikan tekanan tambahan terhadap sistem penjagaan kesihatan terutama di hospital swasta manakala kos penjagaan primer masih kekal pada tahap yang terkawal.

Dr Thirunavukarasu juga berkata kira-kira 70 peratus penduduk bergantung kepada sistem penjagaan kesihatan awam, yang ketika ini kekal terbeban dan perlu terus diperkukuh sebagai jaringan keselamatan negara.

“Penjagaan kesihatan adalah isu sistemik... Anda tidak boleh menyelesaikannya dengan pendekatan jangka pendek,” katanya sambil menambah pembaharuan yang digariskan dalam Kertas Putih Kesihatan termasuk reformasi pembiayaan penjagaan kesihatan dan pengekalan tenaga kerja perlu dilaksanakan secara konsisten.

Beliau turut mengulangi pendirian MMA bahawa perbelanjaan penjagaan kesihatan awam sepatutnya mencapai sekurang-kurangnya lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar yang dianggarkan sekitar RM70 bllion hingga RM80 bilion setahun.

Dr Thirunavukarasu berkata justeru, Ahli Parlimen hendaklah memainkan peranan yang lebih besar dalam membincangkan mekanisme pembiayaan mampan termasuk insurans kesihatan sosial dan pembiayaan kesihatan nasional bagi memastikan kelestarian sistem dalam jangka panjang.

“Penjagaan kesihatan tidak seharusnya dipolitikkan... ia sepatutnya menjadi tanggungjawab seluruh negara dan seluruh masyarakat,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan