WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Ekuiti Malaysia Capai Paras Paling Kukuh, Dipacu Keteguhan Ringgit, Asas Tempatan

27/01/2026 08:48 PM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid dan Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Pasaran ekuiti Malaysia melonjak kepada paras paling kukuh dalam tempoh tujuh tahun pada Selasa, dipacu keyakinan baharu pelabur, disokong pengukuhan ringgit dan perubahan dinamik modal global, sekali gus mendorong penilaian semula terhadap profil risiko negara, menurut ahli ekonomi.

Penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI meningkat 1.4 peratus untuk mencecah 1,760.50 pada tengah hari ini (27 Jan, 2026), paras tertinggi yang pernah dicatatkan pada pertengahan Oktober 2018.

Sementara itu, pada pukul 3.31 petang hari ini juga, ringgit mengukuh kepada 3.9515 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), meneruskan momentum kenaikan kukuh melepasi paras psikologi 4.00 dalam tempoh lebih tujuh tahun.

Dagangan ringgit sebelum ini ditutup paling teguh pada 3.9480 berbanding dolar AS iaitu pada 15 Mei, 2018.

Ahli ekonomi berkata kenaikan kukuh ringgit yang berterusan direkodkan dalam keadaan kelemahan dolar AS secara menyeluruh dan peningkatan ketegangan pasaran berkaitan Jepun.

Dalam pada itu Indeks Dolar AS merosot kepada paras terendah dalam tempoh sejak September berikutan spekulasi mengenai kemungkinan campur tangan yen dan hasil bon Jepun yang lebih tinggi, yang telah meningkatkan jangkaan pengurangan beransur-ansur dagangan bawaan yang dibiayai yen serta penstrukturan semula portfolio global.

 

Kenaikan Ringgit Mengatasi Penurunan Dolar AS

 

Profesor ekonomi Universiti Sunway, Dr Yeah Kim Leng berkata peningkatan ringgit di bawah paras 4.00 berbanding dolar AS tidak semata-mata disebabkan oleh kelemahan luaran dolar memandangkan pengukuhan mata wang Malaysia adalah melebihi penurunan dolar itu sendiri.

“Indeks dolar merosot kira-kira 0.7 peratus setakat ini bagi tahun ini manakala ringgit meningkat kira-kira 2.2 peratus, menunjukkan hanya sekitar satu pertiga daripada kekukuhan ringgit boleh dikaitkan dengan kelemahan dolar AS secara menyeluruh,” katanya kepada Bernama.

Yeah berkata sebahagian lagi kenaikan ringgit itu mencerminkan penambahbaikan asas domestik termasuk pertumbuhan ekonomi lebih baik daripada jangkaan, inflasi lebih rendah berbanding trend, peningkatan rizab pertukaran mata wang asing, lebihan akaun semasa yang kukuh, serta prestasi fiskal yang secara keseluruhan selaras dengan jangkaan.

Dalam konteks ini, beliau berkata kenaikan ringgit terkini itu menunjukkan penilaian semula secara beransur-ansur terhadap mata wang Malaysia, dan bukannya pergerakan bersifat kitaran semata-mata, walaupun pasaran pertukaran mata wang asing global masih kekal tidak menentu susulan ketidaktentuan dasar dan ketidakseimbangan struktur.

“Trend mata wang global menunjukkan gabungan kelemahan dolar dan kekukuhan khusus ringgit, yang menyokong penilaian semula asas mata wang Malaysia,” katanya.

Mengulas prestasi yen, Yeah berkata peningkatan hasil bon Jepun serta kemungkinan campur tangan mata wang oleh pihak berkuasa dijangka memberi kesan lebih ketara terhadap peruntukan portfolio dalam pasaran maju utama khususnya AS berbanding ekonomi sedang pesat membangun yang mencatatkan  pertumbuhan kukuh dan kestabilan makroekonomi.

“Pelabur global berkemungkinan mencari kepelbagaian pelaburan di pasaran sedang pesat membangun yang menawarkan pulangan lebih tinggi serta pertumbuhan yang pantas.

“Pasaran sedang pesat membangun yang lebih kecil dan lemah mungkin berdepan tekanan aliran keluar modal, namun prestasi sektor sebenar Malaysia yang kukuh serta agenda transformasi ekonomi berorientasi pertumbuhan mengurangkan risiko spekulatif terhadap ringgit,” katanya.

Ketua Ahli Ekonomi Kumpulan AmBank Firdaos Rosli yang turut senada dengan Yeah berkata ringgit ditutup di bawah paras psikologi 4.00 adalah didorong faktor dalaman dan luaran.

“Dasar monetari Malaysia yang stabil, pertumbuhan kukuh pada 2025 serta jangkaan pasaran selepas tempoh itu telah menyumbang kepada sentimen positif dalam kalangan pelabur.

“Selain itu, faktor luaran seperti kelemahan meluas dolar AS dan persekitaran kadar faedah sebenar yang memihak kepada Malaysia turut menyokong ringgit,” katanya.

Firdaos berkata pergerakan terkini ringgit lebih cenderung dipacu faktor dolar, dengan aliran masuk bon yang kukuh dicatatkan sepanjang minggu lepas dalam persekitaran pasaran yang kurang bersifat elak risiko, disokong jangkaan data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat 2025 Malaysia yang memberangsangkan.

“Mengenai prestasi yen yang turun naik, terdapat sedikit kesan limpahan positif memandangkan yen Jepun lazimnya mempunyai korelasi yang longgar dengan mata wang Asia, meskipun hubungan ini lebih lemah berbanding yuan China.

“Keputusan Bank Negara Malaysia mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus mengesahkan bahawa langkah pengurangan awal pada tahun lepas telah memberikan perlindungan yang mencukupi terhadap cabaran luaran, sekali gus memberi petanda positif hingga 2026,” katanya.

Firdaos berkata keyakinan terhadap ekonomi domestik terus diperkukuh oleh aliran data yang positif, meskipun eksport dijangka kekal tidak menentu dalam beberapa bulan akan datang.

Dari segi asas, pertumbuhan kekal berdaya tahan, disokong pasaran buruh yang kukuh, inflasi terkawal, lebihan akaun semasa yang positif serta disiplin fiskal, katanya.

Bagaimanapun, risiko penurunan masih ada terutama jika pengurangan kadar faedah Rizab Persekutuan AS ditangguhkan berikutan inflasi perbelanjaan penggunaan peribadi teras yang kekal tinggi, yang boleh menyebabkan dolar AS meningkat semula.

“Risiko negatif turut berpunca daripada sentimen risiko global yang tidak menentu, kebanyakannya disebabkan oleh geopolitik serta kebergantungan terhadap perdagangan elektrik dan elektronik dengan AS yang semakin meningkat sehingga menimbulkan risiko tumpuan kepada pergerakan ringgit,” katanya.

 

Ekuiti didorong oleh Sektor dipacu Asas

 

Kestabilan ringgit juga telah menyokong penarafan semula yang tinggi ke atas ekuiti domestik, dengan Bursa Malaysia merekodkan peningkatan berterusan, didorong sektor dipacu asas, dan bukannya aliran mudah tunai jangka pendek.

Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata peningkatan kukuh ekuiti semasa yang berterusan mencerminkan pengurangan premium risiko.

Beliau berkata hal itu didorong oleh keyakinan makro yang semakin meningkat sekali gus menunjukkan peralihan daripada tingkah laku pasaran yang bersifat spekulasi atau didorong aliran.

“Ini merupakan penarafan semula yang dipengaruhi oleh premium risiko yang lebih rendah dan kredibiliti makro yang semakin baik, bukannya mudai tunai jangka pendek,” katanya kepada Bernama.

Mohd Sedek berkata saham perbankan dan kewangan muncul sebagai penerima manfaat utama daripada penyesuaian itu memandangkan kestabilan ringgit mengurangkan ketidakpastian makro dan pembiayaan, mempertingkat kebolehlihatan kualiti aset dan menyokong pertumbuhan kredit yang mampan tanpa menjejaskan margin keuntungan.

“Berdasarkan rekod lepas, saham bank-bank Malaysia diniagakan pada harga lebih rendah daripada penilaian semasa ketika mengalami ketidaktentuan mata wang dan dasar.

“Apabila risiko kedaulatan dan tukaran mata wang asing dinilai semula, sektor ini cenderung untuk mendapat manfaat yang tidak seimbang melalui peningkatan gandaan penilaian, bukan semata-mata melalui pertumbuhan pendapatan," katanya.

Beliau berkata saham terpilih berkaitan penggunaan domestik semakin mendapat perhatian, disokong oleh jangkaan inflasi terkawal dan dinamik pendapatan sebenar yang lebih stabil, yang meningkatkan pendapatan berdaya tahan berbanding lonjakan kitaran.

Sektor berteraskan hasil seperti utiliti dan amanah pelaburan hartanah meraih manfaat daripada kestabilan makro, walaupun potensi kenaikan sektor itu kebanyakannya kekal dikekang oleh normalisasi penilaian, katanya.

Beliau berkata sektor defensif pula ketinggalan dalam fasa penarafan semula memandangkan pelabur cenderung memilih saham pertumbuhan dan pilihan berdasarkan keadaan makro.

Mohd Sedek berkata kepimpinan sektor semasa menunjukkan kenaikan Bursa Malaysia didorong oleh penilaian semula asas jangka sederhana berbanding tindak balas yang defensif terhadap ketidaktentuan global.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan