KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Pelaksanaan mekanisme penentusahan umur bertujuan memastikan golongan berumur 16 tahun ke bawah tidak memiliki akaun media sosial, selaras dengan usaha meningkatkan tahap keselamatan digital, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.
Teo berkata kaedah penentusahan itu akan ditentukan kelak, antaranya melalui MyDigital ID, kad pengenalan atau pasport.
“Selepas pelaksanaan mekanisme penentusahan, kerajaan tidak akan mengumpul maklumat mengenai identiti pengguna atau pemilik akaun. Proses ini hanya terhad kepada pengesahan umur sahaja,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) yang ingin mengetahui sama ada Kementerian Komunikasi akan melaksanakan pembersihan data terhadap akaun media sosial sedia ada selepas mekanisme penentusahan umur dilaksanakan.
Teo berkata antara fokus utama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ketika ini adalah menilai serta menguji kebolehlaksanaan mekanisme pengesahan umur pengguna oleh platform media sosial sebagai salah satu keperluan pematuhan di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866).
Beliau berkata penilaian itu merangkumi aspek keselamatan akaun pengguna, perlindungan data peribadi, pertimbangan privasi, ketepatan teknologi serta kesesuaian dengan kerangka perundangan dan regulatori negara.
Bagi tujuan tersebut, katanya proses Medan Ujian Regulatori (Regulatory Sandbox) sedang dilaksanakan, dengan MCMC bekerjasama dengan penyedia platform media sosial bagi menilai pendekatan teknologi yang sesuai.
“Ini termasuk mekanisme pengesahan umur, pengesahsahihan entiti, penggunaan kecerdasan buatan bagi mengesan kandungan berisiko serta penambahbaikan mekanisme pengendalian aduan yang lebih pantas dan berkesan,” katanya.
Selepas penilaian mekanisme pengesahan umur dan pelaksanaan proses Regulatory Sandbox, Teo berkata kewajipan untuk memastikan pengguna berumur 16 tahun ke bawah tidak menggunakan akaun media sosial akan diletakkan kepada penyedia platform media sosial menerusi instrumen subsidiari berkaitan.
Beliau menjawab soalan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) mengenai cadangan kerajaan mengawal selia proses penentusahan umur bagi platform media sosial, memandangkan ia melibatkan pemberian butiran peribadi warganegara kepada platform asing yang berpangkalan di luar negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial