PELABUHAN KLANG, 28 Jan (Bernama) -- Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menyita lima kontena sarat dengan sisa elektronik seberat lebih 125 tan menerusi siri pemeriksaan di Pelabuhan Barat di sini, Selasa lepas.
Komander AKPS Pelabuhan Klang Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata pemeriksaan pada 10.30 pagi itu mendapati kesemua kontena membawa pelbagai jenis buangan berjadual, yang dilarang dibawa masuk ke negara seperti kabel wayar dihancurkan serta sampah industri dan komersial.
“Siasatan awal mendapati kontena-kontena terbabit dibawa masuk ke negara ini menggunakan kaedah pengikraran palsu, iaitu dokumen yang dibekalkan tidak mencerminkan kandungan sebenar, bertujuan mengelirukan pihak berkuasa dan mengaburi proses pengesanan.
“Negara pengeksport bagi kontena terbabit telah dikenal pasti melibatkan Amerika Syarikat, Sepanyol, Korea Selatan dan Taiwan dengan sebahagian buangan diisytiharkan sebagai aluminium alloy post decoration, namun kandungan sebenar berbeza daripada pengikraran rasmi," katanya dalam sidang media di Tapak Gudang CFS 4, Pelabuhan Barat, di sini hari ini.
Beliau berkata perbuatan itu adalah satu kesalahan serius kerana ia bukan sahaja melibatkan pemalsuan dokumen dan penipuan, tetapi juga cubaan untuk mengelak duti kastam serta larangan import yang ditetapkan undang-undang negara.
Sehubungan itu, Nik Ezanee berkata kelima-lima kontena ditahan bagi tujuan siasatan lanjut dan tindakan penguatkuasaan termasuk peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 133 Akta Kastam 1967 serta Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Beliau berkata kejayaan itu hasil risikan berterusan AKPS dengan tujuan memastikan negara tidak menjadi destinasi pelupusan sisa elektronik dan industri yang menyalahi undang-undang, selain mengekalkan keselamatan biosekuriti dan kepentingan industri tempatan.
"Nilai rampasan masih belum dapat ditentukan kerana pihak berkuasa perlu menunggu keputusan analisis sampel daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebelum sebarang tindakan lanjut seperti menghantar semula kontena ke negara asal dibuat.
“Rampasan ini merupakan satu langkah penting untuk menghalang sebarang cubaan membawa masuk dagangan terlarang melalui pelabuhan utama negara dan ia menunjukkan keberkesanan kerjasama antara pasukan AKPS dengan pihak pengurusan pelabuhan," katanya.
Dalam perkembangan lain, Nik Ezanee berkata AKPS turut menahan dua buah kontena mengandungi produk berasaskan daging babi bernilai RM873,000, semalam, dipercayai dihantar dari Belgium, susulan ketidakpatuhan terhadap syarat ditetapkan pihak berkuasa termasuk kemudahan yang tidak mendapat kelulusan.
“Siasatan lanjut untuk mendapatkan maklumat lebih terperinci mengenai kontena tersebut masih dijalankan dan ia menjadikan rampasan berkaitan daging babi di Pelabuhan Klang setakat bulan ini telah mencecah RM2 juta,” katanya.
Selain itu, Nik Ezanee berkata pegawai daripada Kementerian Kesihatan (KKM) telah ditempatkan di terminal Pelabuhan Barat bagi membantu kemasukan barangan dan memastikan tiada risiko kepada keselamatan awam susulan ancaman virus Nipah.
"Bagi isu kesihatan awam termasuk ancaman virus seperti Nipah, pemantauan rapi dijalankan terhadap produk berisiko tinggi dan negara asal tertentu.
"Setakat ini tiada ancaman lain dikesan dan pemantauan diteruskan sehingga menerima arahan lanjut daripada pihak berkuasa berkaitan," katanya.
Terdahulu, KKM hari ini mengeluarkan kenyataan bahawa tiada kes baharu berhubung virus Nipah dilaporkan di Malaysia susulan kejayaan membendung wabak berkenaan sejak 1999.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan India kini berdepan ancaman virus Nipah selepas dua kes jangkitan pada manusia dikesan di Bengal sejak bulan lepas, sekali gus memaksa kebanyakan negara mengetatkan saringan di pintu masuk antarabangsa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial