WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kerajaan Lancar Papan Pemuka Pantau Perkembangan Terkini MA63

28/01/2026 05:56 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Kerajaan hari ini melancarkan portal Papan Pemuka Status Pelaksanaan Perkara di Bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi membolehkan rakyat memantau perkembangan terkini pelaksanaannya.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata portal itu, yang dikendalikan Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS), menyediakan akses kepada maklumat latar belakang perjanjian, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) serta status perundingan semasa.

“Portal ini membolehkan orang ramai meneliti perincian berkaitan MA63, latar belakang berhubung kait dengan perjanjian tersebut serta aktiviti BHESS mengenai status perundingan di bawah MA63,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan papan pemuka berkenaan.

Beliau berkata setakat ini, sebanyak 13 perkara berkaitan tuntutan MA63 telah selesai manakala 15 lagi di peringkat rundingan yang memerlukan penelitian lanjut.

Fadillah berkata proses pelaksanaan tuntutan MA63 bukan perkara mudah kerana melibatkan sejarah penubuhan negara dan perundangan yang telah dibuat di peringkat Persekutuan dan negeri sejak sekian lama.

“Sebab itu ada perkara yang mudah sudah pun diselesaikan, ada yang terpaksa memerlukan perundingan yang lebih rumit lagi, yang kadang-kadang terpaksa kita pinda Perlembagaan dan sebagainya termasuklah undang-undang sedia ada,” katanya.

Pembangunan Papan Pemuka MA63 dilaksanakan secara dua fasa, dengan fasa pertama yang dilancarkan hari ini boleh diakses melalui portal rasmi BHESS manakala fasa kedua akan melibatkan penambahbaikan berterusan termasuk pengemaskinian maklumat secara langsung oleh kementerian dan agensi berkaitan.

Sementara itu, mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berhubung isu kawal selia Petronas dan Petros, Fadillah berkata perkara tersebut telah dibawa ke mahkamah dan semua pihak perlu menunggu keputusan rasmi badan perundangan.

Semalam, Azalina berkata MA63 adalah dokumen asas yang menetapkan terma pembentukan Malaysia termasuk hak serta autonomi Sabah dan Sarawak dalam beberapa bidang tertentu.

Beliau berkata bagaimanapun, pengurusan serta kawal selia industri minyak dan gas ditentukan melalui perundangan persekutuan khususnya Akta Kemajuan Petroleum 1974 (Akta 144).

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan