WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MAIK Tawar Pembelajaran Al-Quran Braille Untuk OKU Penglihatan

28/01/2026 06:27 PM

KOTA BHARU, 28 Jan (Bernama) -- Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dengan kerjasama Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) Wilayah Kelantan menawarkan pembelajaran al-Quran Braille untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan.

Yang Dipertua MAIK Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata pembelajaran berkenaan dilaksanakan di Pusat Pengajian Al-Quran Pertis di Kampung Bunut Payong, di sini.

Beliau berkata bagi memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran kepada golongan berkenaan, MAIK turut menyumbangkan peralatan seperti peranti Braille dan mesin taip Braille.

“Kelas pengajian al-Quran ini sebelum ini telah diadakan di premis yang disewa di Padang Mokkan, di sini namun bermula Disember tahun lepas, operasinya dipindahkan ke sebuah rumah wakaf yang lebih kondusif dan selesa di Pusat Pengajian Al-Quran Pertis di Bunut Payong,” katanya berucap pada majlis perasmian pusat pengajian berkenaan hari ini.

Tengku Mohamad Rizam berkata pihaknya turut memberikan sumbangan berjumlah RM50,660 bagi pembelian empat peranti e-Braille yang berfungsi sebagai komputer bagi OKU penglihatan serta dua mesin taip Braille.

Beliau berkata peranti berkenaan dihasilkan oleh hasil penyelidikan daripada anak tempatan iaitu pensyarah Universiti Teknologi Malaysia yang dapat berfungsi dalam membantu OKU penglihatan untuk membaca, menaip serta mendengar.

“MAIK juga telah melantik seorang guru agama Wan Mohd Fadhil Wan Pauzi yang merupakan seorang OKU penglihatan bagi memastikan kelas pengajian dapat dijalankan secara berterusan dan berkesan,” katanya.

Setakat ini sebanyak 22 OKU penglihatan yang berusia 23 hingga 72 tahun mengikuti pembelajaran di pusat pengajian al-Quran berkenaan dengan dibimbing tiga tenaga pengajar juga daripada golongan OKU penglihatan. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan