WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Bursa Malaysia Sasar Permodalan Pasaran IPO RM28 Bilion Pada 2026

29/01/2026 07:09 PM

KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Bursa Malaysia Bhd menyasarkan permodalan pasaran tawaran awam permulaan (IPO) berjumlah RM28 bilion tahun ini, meningkat daripada RM27.4 bilion yang dicapai pada 2025.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Fad’l Mohamed berkata Bursa Malaysia akan memberi tumpuan kepada penyenaraian yang lebih besar dan berkualiti tinggi tahun ini.

“Pada tahun lepas, kami mempunyai 11 IPO di Pasaran Utama. Kami akan terus menyasarkan IPO di Pasaran Utama dan Pasaran ACE. Pasaran ACE adalah platform pendanaan yang kukuh bagi banyak syarikat yang sedang berkembang di Malaysia.

“Kami menjangka nisbah syarikat Pasaran ACE yang lebih tinggi. Bagaimanapun, kami juga mahu memfokuskan kepada syarikat besar di Pasaran Utama, dan berharap ini dapat direalisasikan,” katanya kepada pemberita dalam taklimat media mengenai prestasi tahun kewangan 2025 Bursa Malaysia di sini hari ini.

IPO pada tahun lepas merangkumi sebanyak 11 penyenaraian di Pasaran Utama, 44 di Pasaran ACE dan lima di Pasaran LEAP.

Fad’l berkata berdasarkan perancangan, Bursa Malaysia meraih momentum yang kukuh di Pasaran Utama dan Pasaran ACE pada masa ini, dengan sebanyak enam IPO dicatatkan setakat ini.

Menurutnya jumlah penyenaraian IPO masih penting untuk membantu syarikat mendapatkan modal.

IPO di Bursa Malaysia merekodkan prestasi kukuh tahun lepas, dengan jumlah penyenaraian mencapai sasaran penuh sebanyak 60 syarikat, melepasi 55 IPO pada 2024.

Fad’l berkata walaupun mengalami cabaran global berterusan yang didorong ketidakpastian geopolitik dan ekonomi, persekitaran mencabar itu kini telah menjadi norma baharu bagi pasaran IPO.

Menurutnya Malaysia dilihat berada pada trajektori positif, disokong oleh dasar yang jelas dan keyakinan pelabur yang meningkat.

“Kami yakin ada syarikat besar yang akan memasuki pasaran. Kami juga percaya bahawa Malaysia akan berada di landasan yang betul dari segi pertumbuhan dan keyakinan, selain menerusi dasar dan hala tuju,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan