WILAYAH - SELATAN > BERITA

Kelucahan Melampau Dipercayai Punca Pergaduhan Tiga Individu

30/01/2026 01:00 PM

JOHOR BAHRU, 30 Jan (Bernama) -- Kelucahan melampau didakwa dilakukan seorang pelajar lelaki terhadap pelajar perempuan dipercayai punca pergaduhan di hadapan sebuah sekolah di Larkin di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata pergaduhan pada 2.30 petang itu membabitkan dua pelajar lelaki 17 tahun dan abang kepada seorang remaja itu yang berusia 20 tahun.

“Polis menerima laporan kejadian pada 7.13 malam semalam dengan pengadu mendakwa dipukul dua individu. 

“Siasatan awal mendapati kejadian itu rentetan kejadian seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun diganggu dengan kelucahan melampau oleh pengadu pada kira-kira 2 petang Rabu lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Raub berkata pelajar perempuan itu membuat laporan pada 5.43 petang semalam. 

Beliau berkata kes pergaduhan itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan manakala siasatan terhadap laporan polis oleh pelajar perempuan itu dilakukan di bawah Seksyen 509 kanun sama.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan menerusi talian 07-2182323 untuk membantu siasatan.

Beliau juga menasihatkan orang ramai tidak menyebarkan video pergaduhan itu bagi mengelakkan salah faham atau spekulasi yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.

Semalam, satu rakaman video memaparkan seorang pelajar dipukul oleh dua orang lelaki di luar kawasan sekolah tular di media sosial.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan