WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Zara Qairina Dituduh Mencuri Oleh Rakan Sekelas, Guru Larang Tuduh Tanpa Bukti

30/01/2026 01:15 PM

KOTA KINABALU, 30 Jan (Bernama) -- Seorang guru akademik di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha memberitahu Mahkamah Koroner di sini hari ini bahawa Zara Qairina Mahathir pernah dituduh oleh rakan sekelasnya mencuri wang, beberapa hari sebelum kematian remaja berkenaan.

Mohd Sham M. Nasir, 26, yang ketika itu mengajar subjek Geografi di dalam kelas Zara Qairina berkata kejadian berlaku pada 14 Julai 2025 selepas seorang pelajar memaklumkan kehilangan wang tunai RM20 ketika pergi ke makmal sains.

Beliau berkata susulan makluman itu, beliau bertanya kepada semua pelajar di dalam kelas, namun tiada maklum balas diterima sebelum menjalankan pemeriksaan mengejut terhadap semua pelajar yang hadir, termasuk Zara Qairina, namun tidak menemukan wang berkenaan.

“Saya melakukan ‘spotcheck’ (pemeriksaan mengejut) terhadap beg sekolah, dompet, poket seluar dan poket baju bagi pelajar lelaki. Bagi pelajar perempuan, saya telah mengarahkan Penolong Ketua Kelas membuat pemeriksaan.

“Pemeriksaan dilakukan selama 10 hingga 15 minit sahaja. Hasil pemeriksaan tidak menjumpai duit yang hilang,” katanya.

Saksi ke-61 itu berkata demikian ketika memberi keterangan pada prosiding kematian Zara Qairina di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Mohd Sham berkata selepas ‘spotcheck’ , kelas diteruskan seperti biasa manakala pelajar yang kehilangan wang menyerahkan sekeping kertas tertulis nama Zara Qairina, sebelum beberapa pelajar lain menyuarakan syak wasangka terhadap Allahyarham dengan mendakwa pernah mengalami kehilangan wang sebelum ini.

Bagaimanapun, beliau menegaskan telah menasihati pelajar terbabit supaya tidak membuat sebarang tuduhan tanpa bukti.

Menurutnya, selepas beliau keluar dari kelas, beberapa pelajar masih mengerumuninya dan mengulangi dakwaan terhadap Zara Qairina, namun beliau sekali lagi menasihati mereka agar tidak menuduh tanpa bukti.

Dalam prosiding sama, Mohd Sham turut memaklumkan bahawa beliau dilantik sebagai warden asrama bermula Ogos 2025 serta menjelaskan struktur tugas, jadual rondaan dan sistem keselamatan di asrama sekolah berkenaan, termasuk kewujudan kamera litar tertutup serta pengawal keselamatan mengikut syif.

Sementara itu, saksi juga bersetuju dengan Timbalan Pendakwa Raya yang juga pegawai pengendali inkues, Mohd Fairuz Johari, bahawa berdasarkan jadual tugasan warden pada Julai 2025, tiada warden bertugas pada malam 15 Julai.

Ketika Mohd Fairuz mempersoalkan keyakinan saksi bahawa Zara Qairina mendengar perbualan berkaitan tuduhan mencuri wang tersebut, saksi mengakui bahawa perkara itu hanyalah berdasarkan anggapan semata-mata dan bukan pemerhatian langsung terhadap reaksi pelajar berkenaan.

Saksi turut memaklumkan bahawa semasa bertugas sebagai guru asrama sebelum dilantik sebagai warden, beliau tidak dibekalkan sebarang garis panduan atau senarai tugas rasmi, selain mengakui pemeriksaan mengejut di dalam kelas dijalankan tanpa merujuk kepada sebarang prosedur operasi standard (SOP).

Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025 iaitu sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya pada kira-kira 4 pagi.

Pada 13 Ogos 2025, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan polis.

Sebelum itu, AGC pada 8 Ogos 2025 telah mengeluarkan perintah untuk menggali semula kubur Allahyarham bagi membolehkan bedah siasat dilakukan.

Mahkamah turut menetapkan sesi 'locus in quo' iaitu lawatan ke lokasi kejadian berkaitan kes kematian Zara Qairina  di bangunan asrama sekolah berkenaan berlangsung pada Jumaat depan.

Prosiding inkues bersambung minggu depan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan