WILAYAH - SELATAN > BERITA

Pegawai MPPD Mengaku Tidak Bersalah Terima Suapan RM47,000

30/01/2026 02:15 PM

SEREMBAN, 30 Jan (Bernama) -- Seorang penolong pegawai tadbir Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk menerima suapan berjumlah lebih RM47,000, antara Jun 2022 hingga Mac 2024. 

Hamiza Hasnin, 53, yang bertugas di Unit Korporat, Pelancongan dan Perhubungan Awam MPPD membuat pengakuan berkenaan selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim N. Kanageswari.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan melalui kontrak perkhidmatan berkaitan beberapa program anjuran jabatan itu berjumlah antara RM1,020 hingga RM16,100 bagi syarikat milik menantunya dengan mencadangkan sebut harga syarikat tersebut sebagai pembekal kepada Bahagian Perolehan, Pengurusan Aset dan Stor MPPD.

Selain itu, dia turut didakwa menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan wang berjumlah RM8,141 bagi dirinya sendiri dengan mencadangkan sebut harga syarikat sama sebagai pembekal bagi satu program lain anjuran jabatan itu bernilai RM8,570.

Kesemua perbuatan berkenaan dilakukan di MPPD antara 23 Jun 2022 hingga Mac 2024 mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Syairah Aqilah Khalil menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu melapor diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Peguam Shaharuddin Mohamed memohon jaminan minimun atas alasan anak guamnya hanya berpendapatan RM4,000 sebulan dan tidak mempunyai sumber kewangan lain selain menanggung anak yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin selain bersetuju dengan syarat tambahan dimohon pihak pendakwaan dan menetapkan 13 Mac ini untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan