WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Ternakan Ikan Keli Tambah Pendapatan KRT Taman Mutiara/ Sutera

30/01/2026 04:09 PM

ALOR GAJAH, 30 Jan (Bernama) -- Bermula dengan modal RM3,000, penternakan ikan keli diusahakan kira-kira dua tahun lepas kini antara sumber pendapatan tambahan dan menambah dana kebajikan komuniti Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Mutiara/ Sutera di sini.

Pengerusi KRT Taman Mutiara/ Sutera Mas Fairuz Kamarudin berkata inisiatif itu bermula dengan 10 tangki pada Disember 2024 dan berkembang kepada 20 tangki selepas mendapat peruntukan RM24,000 di bawah projek Rukun Tetangga Progresif (RTP) daripada Kementerian Perpaduan Negara pada September tahun lepas.

“Pada peringkat awal, projek ini bermula dengan modal daripada 10 penduduk dengan setiap seorang menyumbang RM300 bagi satu tong mengandungi 500 anak ikan keli.

“Permulaan projek digerakkan sendiri oleh komuniti tanpa pengalaman sebelum mendapat bimbingan Jabatan Perikanan serta Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Melaka," katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Mas Fairuz berkata projek itu menggunakan sistem akuakultur kitar semula yang dihasilkan komuniti bagi mengawal bau serta mengekalkan kualiti air, pada mulanya menghadapi pelbagai cabaran seperti kadar kematian anak ikan mencecah 40 peratus selain isu pemasaran.    

Bagaimanapun, beliau berkata ia dapat diatasi dengan bantuan pelbagai pihak sehingga mereka kini mampu mengeluarkan kira-kira 500 kilogram ikan keli sebulan dengan pendapatan kasar kira-kira RM4,000 pada harga RM8 sekilogram.

Mas Fairuz berkata aktiviti penternakan itu meraih keuntungan bersih lebih RM2,000 sebulan selepas ditolak kos operasi iaitu benih anak ikan, makanan dan utiliti.

“Projek ini menjana pendapatan tambahan kepada komuniti, membuka peluang pekerjaan sambilan kepada penduduk, memberi komisen jualan kepada ejen terdiri daripada komuniti taman dan menyumbang kepada tabung kebajikan taman bagi tujuan kecemasan.

“Sebanyak 10 pelabur asal projek ini terlibat secara langsung dalam aktiviti penternakan seperti memantau kualiti air, memberi ikan makan dan menyiang, membungkus serta menjual ikan,” katanya.

Beliau berkata selain ikan segar, mereka juga mengeluarkan ikan keli sejuk beku, salai dan masak lemak cili api mengikut permintaan pelanggan, dengan jualan dilakukan menerusi platform TikTok atau secara terus di tempat ternakan atau pada program anjuran JPNIN Melaka.

Berhubung usaha mengembangkan projek, Mas Fairuz berkata jawatankuasa KRT telah memohon tapak lebih luas daripada pemilik tanah di kawasan berhampiran taman itu kerana berhasrat meningkatkan kapasiti kepada 150 tangki ikan keli.

Selain itu, mereka bercadang menubuhkan koperasi bagi memperluas dan memperkukuh aktiviti penternakan itu sekali gus memastikan pengurusan perniagaan yang lebih tersusun serta mampan.

“Kita masih mengharapkan sokongan berterusan kerajaan khususnya dari segi dana, latihan teknikal dan penggunaan teknologi moden seperti peralatan pensterilan (retort) supaya projek ini terus berkembang serta memberi manfaat kepada lebih ramai penduduk,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan