KUALA LUMPUR, 31 Jan (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menyempurnakan Majlis Penyempurnaan Pemuliharaan Bangunan Sultan Abdul Samad (BSAS) Fasa 1 di sini, hari ini.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda pada kira-kira 10 pagi disambut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Hadir sama ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Majlis dimulakan dengan persembahan Malaysian Philarmonic Youth Orchestra dan bacaan doa diikuti ucapan menjunjung kasih oleh Perdana Menteri.
Istiadat bersejarah itu menandakan pembukaan Blok 1 Kompleks BSAS yang ikonik setelah kerja konservasi dan pemuliharaan selama 11 bulan siap dijalankan di bawah program Dana Warisan Khazanah, satu inisiatif Warisan Kuala Lumpur (Warisan KL).
Bangunan itu pada asalnya dikenali sebagai Bangunan Sekretariat yang berfungsi sebagai teras pentadbiran negara dan dinamakan semula sebagai Bangunan Sultan Abdul Samad bagi memperingati Almarhum Sultan Abdul Samad Almarhum Raja Abdullah, Sultan Selangor semasa era pembinaannya.
BSAS menyaksikan pelbagai peristiwa penting dalam sejarah negara termasuk penurunan Bendera Union Jack dan pengibaran Bendera Persekutuan Tanah Melayu buat kali pertama pada 1957 di kawasan yang kini dikenali sebagai Dataran Merdeka.
Bangunan itu juga menjadi saksi ketika Kuala Lumpur diisytiharkan sebagai bandar raya pada 1972 dan seterusnya sebagai Wilayah Persekutuan pada 1974 setelah mendapat perkenan Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah untuk penyerahan Kuala Lumpur daripada Selangor kepada Kerajaan Persekutuan.
Pemuliharaan Blok 1 BSAS merupakan fasa pertama yang siap dalam usaha menyeluruh memulihara kompleks itu dengan kerja pemuliharaan mengekalkan watak sebagai Tapak Warisan Kebangsaan Kategori 1 di samping meningkatkan aspek keselamatan, kebolehcapaian dan pengalaman pengunjung.
Pengunjung kini boleh menikmati pelbagai kemudahan di BSAS termasuk ruang pameran dan galeri interaktif, pusat maklumat pelawat sehenti, ruang runcit berkonsep pengalaman dan pembuatan kraf, dewan serta tempat acara yang boleh disewa serta penawaran makanan dan minuman.
Blok 1 BSAS akan dibuka kepada orang ramai bermula 2 Feb, iaitu genap setahun sejak kerja pemuliharaan dimulakan pada tahun lepas dan boleh dilawati dari 9 pagi hingga 6 petang setiap hari.
Bagi memperingati pembukaan itu, kemasukan ke Galeri Kuala Lumpur di Dataran Merdeka ialah secara percuma untuk tempoh sebulan pertama.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial