WILAYAH - UTARA > BERITA

Klasifikasi Kes Serangan Anak Rafizi Ditentukan Hasil Siasatan Polis - Saifuddin

31/01/2026 06:39 PM

KULIM, 31 Jan (Bernama) -- Status siasatan kes serangan melibatkan anak Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Rafizi Ramli akan ditentukan berdasarkan perkembangan siasatan polis, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata sama ada kes tersebut diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA) atau sebaliknya bergantung pada hasil dan petunjuk yang ditemui dalam siasatan.

“Apabila berlaku sesuatu insiden dan kemudian ada laporan polis dibuat, tugas hakiki polis adalah menjalankan penyiasatan dan penyiasatan ini akan dilakukan secara berterusan dan kemajuannya bergantung pada petunjuk-petunjuk baharu yang kita jumpa.

“Jadi sama ada pengkelasan kes itu akan dimasukkan sebagai NFA atau sebaliknya pada peringkat ini, saya serahkan sepenuhnya kepada profesionalisme pasukan polis,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Bantuan Wang Ihsan Daerah Kulim kepada mangsa banjir di sini, hari ini.

Saifuddin Nasution berkata dia tidak bercadang untuk memberikan sebarang pengarahan yang boleh dianggap bersifat konklusif terhadap status siasatan polis berkaitan kes itu.

Katanya ini kerana perkara itu boleh dianggap sebagai mengganggu proses penyiasatan jika polis menemui punca atau petunjuk baharu dalam siasatan mereka.

“Saya telah menghubungi beliau (Rafizi) untuk bertanya khabar, bukan sahaja ketika insiden itu berlaku, bahkan selepasnya juga dan saya serahkan kepada sikap profesional pasukan polis,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Rafizi berhasrat untuk mengirim surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berhubung kes melibatkan serangan ke atas anaknya.

Rafizi turut bercadang untuk mengusulkan status NFA kerana tiada sebarang perkembangan dimaklumkan selepas enam bulan serangan tersebut berlaku.

Dalam kejadian 13 Ogos tahun lepas, anak lelaki tunggal Rafizi yang berusia 12 tahun diserang seorang individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan