BALING, 31 Jan (Bernama) -- Seorang wanita kerugian RM10,000 selepas beg galas yang diletakkan di dalam keretanya dicuri dalam kejadian berhampiran sebuah pasar raya di Kupang dekat sini pada Khamis lepas.
Ketua Polis Daerah Baling Supt Brandon Richard Joe berkata kejadian dipercayai berlaku kira-kira 8.40 pagi ketika wanita berkenaan dikatakan meletakkan kereta Perodua Avanza berwarna kelabu di tepi pasar raya berkenaan.
“Laporan polis diterima pada 11.40 pagi pada hari sama… wanita itu dikatakan keluar daripada kereta dan masuk ke pasar raya untuk membeli barang keperluan.
“Selepas selesai membeli barang, mangsa terus pulang ke rumah dan menyedari beg galasnya tiada di dalam kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata siasatan mendapati kenderaan itu diletakkan pada jarak 15 meter dari pintu hadapan pasar raya berkenaan.
“Pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup di lokasi kejadian mendapati seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 20 hingga 30-an telah membuka pintu hadapan kenderaan itu dan melarikan beg galas milik mangsa.
“Wang tunai RM10,000 itu adalah hasil perniagaan yang dibawa mangsa untuk disimpan di dalam bank dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial